Anak Muda Anggap Kerajaan Tidak Telus, Gagal Tunai Janji Utama – Shahril

SHAH ALAM, 23 Julai – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, rata-rata anak muda kini beranggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan hari ini tidak telus serta gagal menunaikan janji-janji utama mereka dengan mengemukakan alasan-alasan yang seolah-olah memperlekehkan pemikiran dan intelektual generasi muda di negara ini.

Menurut beliau, anak muda melihat kegagalan kerajaan PH dalam melaksanakan janji-janji utama mereka adalah gambaran kepada kegagalan dalam pentadbiran awal kerajaan baru ini.

“Contohnya antara 10 janji utama PH untuk 100 hari pertama sebelum berkuasa dulu adalah untuk menurunkan harga minyak. Janji spesifiknya adalah untuk menstabilkan harga minyak dan melaksanakan sistem subsidi yang kononnya lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Ini satu janji yang belum ditunaikan kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini hanyalah mengekalkan harga minyak pada paras yang sama. Dan kita tahu, apa yang kerajaan lakukan hari ini ialah bukan subsidi bersasar, tetapi adalah subsidi pukal.

“Subsidi pukal ini hanya akan menguntungkan golongan atau rakyat yang berpendapatan tinggi dan bukan rakyat golongan pertengahan dan bawah.

“Ini bermakna, jika kerajaan terus mengekalkan harga minyak tanpa subsidi bersasar, apakah impaknya kepada kewangan negara dan apakah yang dikurangkan belanja?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah satu panel dalam program secara langsung Diskusi N49 yang membicarakan topik “Janji Dan Anak Muda” di sini, Ahad malam.

Kata Shahril lagi, apabila kerajaan gagal melaksanakan janjj untuk menurunkan harga minyak ini maka mereka mula memberi alasan kononnya hutang negara terlalu tinggi, kerajaan tidak ada duit dan sebagainya yang menyebabkan janji-janji lain juga tidak dapat ditunaikan.

“Saya yakin rakyat khususnya orang-orang muda bukanlah menelan bulat-bulat alasan yang diberikan oleh kerajaan itu kerana mereka juga boleh berfikir dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.

“Rakyat sedar, hasil daripada subsidi pukal ini akan hanya menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang untuk mengekalkan harga minyak ini.

“Saya masih ingat kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan telah menetapkan sebanyak RM3 bilion  sebagai subsidi untuk mengekalkan harga minyak.

“Dan baru-baru ini keluar pula kenyataan dari Rafizi bahawa semenjak 9 Mei sehingga sekarang, lebih 1.4 bilion ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi mengekalkan harga minyak. Ini bermakna sudah lebih kurang separuh daripada tiga bilion itu sudah dibelanjakan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

“Kita masih mempunyai lima bulan lagi sehingga hujung tahun, jadi apa akan jadi selepas tiga bilion yang diperuntukkan itu habis sebelum hujung tahun. Apakah harga minyak akan naik?,” ujarnya.

Justeru, ini merupakan antara banyak perkara  yang menyebabkan anak muda hari ini melihat tidak ada ketelusan di dalam pentadbiran kerajaan hari ini, kata Shahril.

“Jadi saya sendiri melihat kerajaan hari ini tidak ada ketelusan dalam hal-hal seperti ini, janji mereka tidak ditunaikan, subsidi minyak masih kekal sama dan apa yang merugikan ialah peruntukan lain yang ditarik balik, penjawat awam yang diberhentikan kerja atas alasan kerajaan tidak ada duit.

“Saya lihat secara keseluruhannya, apa yang berlaku ini memaparkan kegagalan pentabiran awal PH untuk menunaikan janji yang memberikan kesan kepada kualiti hidup rakyat di negara ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.