Pemuda UMNO Siap Sedia Hadapi PRK Sg. Kandis

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO siap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis yang dijadualkan 4 Ogos depan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda UMNO sudah pun bersiap sedia dan akan menggunakan PRK ini untuk menggerakkan kepimpinan baru Pemuda dari negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Ini adalah sebagai platform latihan kepada mereka kerana hampir 90 peratus kepimpinan Pemuda UMNO diperingkat bahagian-bahagian adalah baru dan mempunyai latar belakang yang pelbagai.

“Ini juga adalah peluang terbaik untuk kita bukan saja sebagai medan latihan kepada Pemuda tetapi juga untuk kita menilai sejauh mana kesediaan dan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN,” katanya.

Berkaitan dengan calon bagi PRK terbabit, beliau memaklumkan bahawa Pemuda telah mencadangkan calon dari orang muda untuk diperincikan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan dan menaruh harapan agar kalangan orang muda dipilih.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama Majlis Ketua-ketua Pemuda Pergerakan Ketua-ketua Pemuda Negeri-negeri dan upacara pelantikan serta angkat sumpah Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Negeri-negeri.

“Bermula sesi kali ini gerak kerja Pemuda UMNO akan banyak bertumpu di akar umbi. Kita mempunyai fokus gerak kerja yang ingin membina kembali kekuatan di akar umbi, menarik kembali sokongan dan dokongan anak-anak muda kepada UMNO.

“Kita akan mendekati pelbagai kelompok sasaran anak-anak muda bagi memenangi kembali hati rakyat dan mengembalikan semula kepercayaan kepada parti,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.