Wanita UMNO Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Drastik Tangani Kematian Oleh Pengasuh


KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad menggesa kerajaan mengambil tindakan drastik susulan insiden kematian Adam Raykal Mohd Sufi Naeif bayi berusia lima bulan yang ditemukan meninggal dunia dalam peti sejuk pada 3 Julai lepas.

Antara cadangannya ialah dengan menguatkuasakan undang-undang.

Menurutnya, kerajaan harus mewajibkan semua pengasuh sama ada yang mengasuh di kediaman sendiri atau pusat asuhan supaya berdaftar dengan kementerian berkaitan.

“Kementerian boleh paparkan kepada umum pengasuh yang berdaftar dengan mereka supaya dapat meyakinkan ibu bapa…selain itu kami sarankan supaya satu pusat latihan untuk melatih pengasuh diwujudkan supaya mereka dapat menjalankan tugas secara profesional,” katanya selepas menziarahi keluarga Adam Raykal dikediamannya di Taman Amaniah, Batu Caves di sini hari ini.

Pada 3 Julai lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis di bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.