Khairy Akan Usul Agar Tidak Perlu Laksana Semula SST

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin akan mengusulkan kepada kerajaan Pakatan Harapan agar tidak melaksanakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata sebaliknya kerajaan perlu meneliti semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar peratusan yang lebih rendah.

“Saya akan menyentuh beberapa perkara penting untuk diambil perhatian oleh kerajaan dalam sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat nanti dengan mengusulkan bahawa sebenarnya tak perlu untuk dilaksanakan SST.

“Cuma mungkin boleh dilihat sistem GST dengan kadar yang lebih rendah tetapi masih boleh membawa hasil yang sama kepada kerajaan dengan sistem percukaian yang lebih cekap,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, hari ini.

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata beliau akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangannya itu dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong nanti.

Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata pembangkang mengambil maklum segala nasihat termasuk apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong terutama agar anggota Dewan menggalas tugas dengan amanah, jujur serta dedikasi.

“Kami selaku pembangkang, tidak kira daripada parti mana… yang penting ialah suara rakyat diwakili. Kami akan lakukan yang terbaik dan berikan komitmen penuh untuk memastikan aspirasi setiap rakyat Malaysia untuk mempunyai masa depan lebih baik, direalisasikan,” katanya.

Kerajaan mencadangkan kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah SST yang akan diperkenalkan semula pada 1 Sept depan.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos ini bagi menggantikan cukai GST dengan pengenalan semula SST dijangka menyumbang RM4 bilion kepada hasil kerajaan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.