“Saya Akan Turun Ke Bawah, Amal Keterbukaan Untuk Perkukuh Parti” – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Setiausaha Agung UMNO Malaysia yang baru, Tan Sri Annuar Musa memberika jaminan akan sentiasa mengamalkan sikap dan dasar keterbukaan untuk sebarang kritikan, teguran dan apa juga yang bersifat membina parti dalam usaha UMNO untuk menjadi satu parti pembangkang yang agressif dan konstruktif.

Menurut beliau, ahli-ahli UMNO boleh menghubungi beliau melalui apa juga cara, baik melalui sistem whatsapp, twitter atau secara berdepan, dalam memberikan sebarang idea atau teguran dalam usaha memperkukuhkan parti dalam menghadapi cabaran politik baru hari ini.

“Kepada ahli-ahli UMNO, saya berpandangan hari ini tidak perlu ada jurang dan tidak perlu ada malu dan sebagainya, jika kita mahu memberikan idea, pandangan mahupun kritikan terhadap kepimpinan parti. Saya terbuka dalam mendengar sebarang pandangan daripada akar umbi.

“Saya berada di sini bagi pihak kawan-kawan semua. Itu jaminan saya. Fahamilah bahawa tugas kita ini tidak ringan. Kita hari ini memikul tugas yang berat. Kalau di zaman kita menjadi kerajaan, jawatan-jawatan itu adalah pangkat. Apabila kita tidak ada kuasa dalam kerajaan hari ini, jawatan bukan lagi pangkat sebaliknya ia adalah tanggungjawab”, katanya pada sidang media bertempat di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Justeru jelas beliau sesuatu tanggungjawab kalau ianya dipikul seorang tentunya berat untuk dilaksanakan,  namun jika dipikul beramai-ramai secara berjemaah, ia lebih memudahkan pelaksanaannya.

“Bak kat pepatah, yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Jadi itu pendirian saya.

“InsyaAllah, apa juga masalah sama besar atau kecil selagi mana diamanahkan oleh Presiden,  saya akan ambil tindakan untuk menyelesaikannya. Ada banyak lagi perkara lain, termasuklah pasca pemilihan di peringkat bahagian dan saya akan mengambil pendekatan terbaik untuk menyelesaikannya,” ujar beliau.

Annuar juga menegaskan, beliau juga akan menjelajah ke peringkat bahagian-bahagian di setiap negeri dan tidak akan mentadbir parti ala korporat.

“Saya tidak akan berada di pejabat sahaja dan akan turun ke negeri serta bahagian-bahagian. Jika ada mana-mana bahagian yang ada masalah dan perlu bertemu dengan SUA, beritahu dan saya akan turun ke bawah. Saya tidak akan mentadbir ala korporat. Saya akan jadi SUA sebuah parti politik. SUA kepada sebuah parti politik mesti turun ke bawah.

“Saya berharap agar semua bahagian menerima pendekatan saya ini dan membuang segala halangan di antara pihak bahagian dengan ibu pejabat parti. Apa yang penting hari ini, kita mesti bekerjasama memulihkan kekuatan parti dan inilah yang akan saya lakukan. Saya beranggapan bahawa pelantikan saya ini merupakan satu penghormatan untuk saya guna dan segala pengalaman yang ada akan saya gunakan untuk kebaikan parti,” jelasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.