Khaled Ucap Terima Kasih Atas Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB Presiden UMNO dan kepimpinan tertinggi atas di atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis.

Menurut beliau, amanah dan kepercayaan ini akan dipikul sebagai mungkin dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Saya juga sedar perlantikan saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Perlis ini mengundang banyak persoalan di kalangan pimpinan UMNO Perlis.

“Dengan itu, saya menyerahkannya kepada YB Presiden untuk menjelaskan rasional perlantikan saya kepada pimpinan UMNO negeri tersebut.

“Harapan saya ialah pencerahan dari Presiden ini akan segera dapat dilakukan agar tidak tertangguh lagi usaha pembaharuan UMNO pasca pilihanraya umum ke 14,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Seterusnya, beliau turut merakam setinggi tahniah kepada YB Datuk Ir. Hj Hasni Mohamad atas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor.

“Saya dengan ini juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor serta seluruh ahli dan penggerak UMNO Johor, atas segala komitmen, kerjasama, sumbangan dan kerja keras yang ditunjukkan sepanjang saya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

“Justeru, kepada semua ahli dan pendukung UMNO Johor, berikan lah kerjasama dan komitmen yang lebih baik lagi kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang baharu, YB Datuk Ir. Hj Hasni Mohamad.

“Saya yakin beliau mempunyai iltizam dan perancangan tersendiri bagi membawa UMNO Johor menjadi lebih baik, diyakini dan dihormati,”ujarnya.

Beliau juga berharap dengan pengumumam perlantikan jawatan utama parti seperti yang telah diumumkan oleh YB Presiden, ahli dan kepimpinan parti dapat mula bekerja dengan segera untuk membangunkan semua wibawa UMNO.

“InsyaAllah melalui dukungan semua pihak, kita akan dapat mencari ikhtiar terbaik untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah gerakan politik orang Melayu yang kuat, dihormati dan berupaya untuk memberikan sebanyak mungkin kebaikan kepada semua,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.