‘Penjimatan’ Yang Meragukan, Tunjuk Bukti Dan Tak Perlu Acah Jadi Wira – Pemuda

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar mendedahkan kepada umum hasil kajian terperinci berhubung ‘penjimatan’ yang telah mereka lakukan terhadap beberapa projek mega kerajaan terdahulu.

Naib Ketuanya Shahril Sufian Hamdan berkata perkara terakhir dalam 10 janji 100 hari pentadbiran kerajaan PH adalah untuk melaksanakan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang sedang dilaksanakan.

“Memandangkan telah banyak pengumuman telah dibuat mengenai projek-projek mega ini, saya mengandaikan bahawa kajian secara terperinci telahpun dijalankan.

“Justeru, saya menuntut agar butiran lanjut kajian tersebut didedahkan kepada umum bagi membuktikan slogan transparensi yang dilaungkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas ‘penjimatan’ kerajaan PH dalam projek-projek rakyat berimpak tinggi itu.

Bidasnya lagi, kenyataan kerajaan PH berkaitan kos sebelum ‘penjimatan’ adalah sangat meragukan kerana tidak semena-mena kerajaan telah mengumumkan kos baharu yang jauh lebih tinggi dari kos yang diketahui umum sebelum ini tanpa apa-apa penjelasan lanjut.

“Kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek LRT3 dengan kos terkini sebanyak RM17 bilion, ‘penjimatan’ sebanyak 47% berbanding kos RM32 bilion, manakala kelmarin pula, kerajaan menyatakan akan bersetuju dengan projek kereta api laju Malaysia-Singapura (HSR) apabila terdapat tawaran bidaan yang dapat menjimatkan sehingga 50% dari kos RM110 bilion.

“Bagi LRT3, kos asalnya adalah sekitar RM10 bilion, manakala bagi HSR pula adalah sekitar RM74 bilion,” ujarnya.

Dengan sinis Shahril juga berpandangan kenyataan yang dibuat kerajaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kerajaan PH sebelum ini telahpun ‘menaikkan’ kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari RM55 bilion kepada RM67 bilion dan terbaru RM81 bilion.

“Jika sekalipun berlakunya peningkatan, dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa, saya merasakan adalah sesuatu yang mustahil kenaikan tersebut terlalu ketara seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

“Kerajaan memberi bayangan bahawa kenaikan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti contoh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu tidak mendedahkan jumlah kos sebenar ataupun terdapat masalah tadbir urus bagi projek-projek ini.

“Bagi projek LRT3, ‘penjimatan’ dapat dicapai adalah kerana kerajaan telah mengurangkan kos menerusi pembatalan serta pengubahsuaian terhadap beberapa pelan asal malah tempoh pembinaan juga telah dilanjutkan 4 tahun lebih lama dari perancangan asal,” ujarnya.

Justeru dengan tegas Shahril berpendapat tiada kaitan mahupun bukti kukuh yang mengesahkan terdapat salah tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Bagi HSR pula, projek ini merupakan projek merentasi sempadan dua buah negara. Mengikut kajian yang dibuat oleh Institute of Southeast Asia Studies (ISEAS), pembinaan projek ini akan memakan kos antara SGD20 bilion hingga SGD25 bilion.

“Kenyataan ini adalah selari dengan jumlah yang dinyatakan oleh pentadbiran kerajaan BN sebelum ini. Ini bermakna, jumlah RM110 bilion yang dinyatakan oleh kerajaan PH adalah suatu jumlah yang langsung tidak munasabah,” tambahnya.

Selain itu katanya, kenyataan yang dibuat kerajaan ini juga secara langsung membayangkan suatu kajian telah dibuat oleh kerajaan dalam penentuan nilai kesemua projek ini.

“Namun apa yang dikesalkan sehingga kini, masih tiada butiran jelas mengapa berlakunya kenaikan ini sama ada melalui dokumen pecahan kos terkini ataupun pencerahan melalui kajian yang telah dibuat,” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.