Kerajaan PH Digesa Segera Atasi Isu Sekolah Tahfiz, UEC Dan Peningkatan Harga Barang

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Pemuda UMNO Permatang Pauh menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan ( PH)  mengatasi segera kontroversi serta kemelut mengenai  Sekolah Tahfiz, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) Dan Peningkatan Harga Pasaran Barangan.

Ketuanya, Anuar Faisal Yahya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online berkata perkara berkenaan harus dipandang serius oleh kerajaan PH hari ini bagi mengelakkan ianya terus berpanjangan.

“Pergerakan Pemuda UMNO  Bahagian Permatang Pauh secara kolektifnya menyokong penuh Dasar Tahfiz Negara yang dilihat lebih membantu sekolah-sekolah Tahfiz di seluruh negara. Justeru kita mendesak kerajaan persekutuan hari ini yang ditadbir oleh Pakatan Harapan untuk meneruskan pekara yang baik seperti Dasar Tahfiz Negara serta tidak melayan atau bertindak untuk menutup sekolah-sekolah Tahfiz ini.

“Kita  juga tidak bersetuju jika perlaksanaan UEC ini yang bertentangan dengan dasar pendidikan negara sedia, sebagai penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan menerapkan nilai-nilai harmoni bermasyarakat seharusnya jurang pemisah di antara sekolah kebangsaan  (SK) biasa dengan SJKC ini harus dikurangkan dan sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya mendokong Dasar Pendidikan Negara supaya diselarikan dan digunapakai oleh semua sekolah termasuk SJKC.

“Jika kita beranggapan UEC satu trend kepada SJKC, bagaimana pula dengan SJKT ? Tidakkah ini akhirnya akan menimbulkan kecelaruan didalam Dasar Pendidikan Negara, 1 Negara 3 sijil kelulusan pendidikan,” katanya.

Katanya lagi, secara dasarnya dua isu yang cuba dibangkitan oleh kerajaan PH ini adalah cukup berat dan amat sukar dihadam oleh semua rakyat Malaysia kerana ianya bersifat perubahan dasar dan menyentuh perkauman namun Pemuda Permatang Pauh amat faham kenapa isu ini cuba dibangkitkan oleh kerajaan PH.

“Isu sebenarnya kerajaan PH dihimpit oleh kegagalan dalam melunaskan janjinya kepada rakyat untuk menurunkan harga pasaran barang keperluan semasa. Sewaktu kempen sebelum PRU 14 kerajaan PH telah menghukum kerajaan BN pada waktu itu dengan berkata GST 6% adalah penyebab kepada kenaikan kos kepada harga barangan keperluan.

“Namun hari ini setelah perlaksanaan GST 0% tiada penurun harga barangan keperluan secara diharapkan, harga barangan ini telah dinaikkan sebelum saranan kerajaan PH untuk menurunkan harga pasaran. Oleh itu harga barangan kekal mahal dan harga barangan dilihat terus dinaikkan peniaga secara sedikit-sedikit bagi mengimbangi perlaksanaan SST kelak,” ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.