Periksa Tangki Air Sudah Berusia – Exco Pahang

MARAN, 12 Julai – Kerajaan negeri Pahang meminta pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memeriksa tangki air yang sudah berusia di semua sekolah negeri ini bagi tujuan keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata tindakan itu bagi mengelakkan kejadian tangki air runtuh yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Chenor, Maran semalam.

“Kita bersyukur kejadian itu tidak melibatkan kecederaan walaupun kejadian berlaku berhampiran dengan dewan makan… difahamkan tangki air sekolah itu sudah berusia 20 tahun.

“Kita mahu tindakan segera dilakukan dan jika perlu tangki air diganti, tindakan sewajarnya dilakukan,” katanya.

Syed Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kejadian tangki air jatuh di sekolah berkenaan yang berlaku pada pukul 6.15 pagi tadi, yang menyebabkan tiga buah kenderaan yang diletakkan berhampiran rosak.

Beliau juga mengesahkan Pengurusan Air Paip Pahang Berhad telah memberi komitmen untuk menyalurkan air ke sekolah itu bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu.