Tindakan Bekukan Akaun Peribadi, Anak-anak Satu Tindakan Ganas – Najib


KUALA LUMPUR, 11 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan rasa kesal berhubung pembekuan akaun peribadi beliau yang tidak ada kena mengena dengan politik dan pentadbiran kerajaan termasuklah kes yang melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini sedang dibicarakan.

Menurut Najib, akaun bank peribadi yang dibekukan itu tidak mempunyai urus niaga lain dan hanya digunakan untuk menerima gaji  sebagai Ahli Parlimen serta pencen sebagai Menteri Besar Pahang selama berkhidmat untuk kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Tindakan yang dilakukan oleh agensi  berkenaan adalah tidak wajar dan tempoh masa pembekuan akaun saya juga tidak dijelaskan. Saya kecewa dengan tindakan ganas oleh kerajaan pada hari ini berhubung pembekuan akaun peribadi ini.

“Saya hanya menyedari akaun saya dibekukan apabila cek peribadi saya dikeluarkan untuk pembayaran rawatan perubatan anak perempuan saya.

“Pihak berkuasa perlu sedar bahawa saya sebagai warganegara biasa juga. Sebagai ketua isi rumah, saya juga mempunyai bil untuk dibayar, seperti bil-bil perubatan dan rumah untuk dijelaskan.

“Tindakan pihak berkuasa membekukan akaun bank ini telah menyebabkan saya kesulitan dan kesukaran dalam menjelaskan segala bil-bil tersebut,” ujarnya melalui entri terbaru yang dimuat naik di halaman facebook rasmi beliau.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang membekukan akaun anak-anaknya yang dilakukan tanpa notis selepas pembayaran ansuran pertama jaminan dibuat pada Rabu yang lalu.

“Seperti yang anda ketahui, saya ditahan pada Selasa lepas dan didakwa pada hari Rabu dan jaminan telah diberikan oleh mahkamah pada hari yang sama dengan jumlah besar sebanyak RM1 Juta Ringgit dalam dua ansuran.

“Kedua anak saya bertindak sebagai penjamin bagi saya dan mematuhi segala perintah mahkamah. Apa yang saya kesalkan, semua akaun bank anak-anak dan cucu saya dibekukan tanpa notis sejurus selepas ansuran pertama jaminan dibuat pada hari Rabu.

“Kenapa anak-anak saya harus menjalani layanan sebegitu rupa sedangkan mereka tidak pernah melakukan sebarang transaksi dan tidak pernah menerima apa-apa kontrak atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan?

“Bagaimanapun, sehingga hari Isnin lalu, saya telah mematuhi syarat jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Yang Mulia. Terima kasih kepada sokongan dan bantuan keluarga, kawan dan penyokong yang sangat berharga buat diri saya,” ujarnya.

Tambah Najib, rekodnya sebagai seorang ahli politik membuktikan bahawa beliau seorang demokrat yang  percaya pada proses keadilan dan integriti Mahkamah, perkhidmatan awam dan sistem keadilan jenayah negara.

“Saya mengakui kekalahan BN selepas pilihan raya yang secara tidak langsung membuktikan tidak ada campur tangan dalam pilihan raya. Peralihan kuasa yang aman juga membuktikan bahawa saya dan BN menerima hakikat kekalahan ini.

“Saya menghormati rakyat yang telah dipilih dan telah memberikan mandat kepada kerajaan baru yang berjanji untuk bergerak ke demokrasi yang lebih besar. Saya juga memegang Kerajaan hari itu untuk janji mereka.

“Saya tidak pernah menentang atau campur tangan dalam sebarang siasatan. Rekod menunjukkan bahawa saya telah menyediakan dan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan masing-masing

“Walau bagaimanapun, pihak-pihak tertentu yang terus mahu bermain politik kotor. Tuduhan kepada  saya dan cara bagaimana saya mentadbir kabinet saya, jika dilihat dengan pemikiran rasional, ia hanyalah  cerita yang tidak berasas  semata-mata kerana tidak ada bukti untuk menyokong segala dakwaan mereka itu.

Najib turut menegaskan, sebagai  warganegara biasa di negara ini beliau juga tertakluk kepada undang-undang untuk  mendapat akses kepada keadilan dan hak untuk perbicaraan yang adil dan saksama.

“Seperti mana-mana warganegara lain saya berhak diberikan akses kepada kebebasan peribadi saya sehingga perbicaraan saya selesai. Saya memohon kepada semua pihak untuk mematuhi peraturan penyiasatan yang adil dan saksama.

“Sekiranya kerajaan hari ini tidak menghormati kedaulatan undang-undang   dan Perlembagaan Persekutuan, saya bimbangi akhirnya Malaysia akan menjadi negara yang gagal satu hari nanti,” akhirnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.