PRK Sungai Kandis : UMNO Selangor Letak Calon, Guna Logo Parti

SHAH ALAM, 11 Julai – UMNO Selangor bersetuju untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan buat pertama kali akan menggunakan lambang parti itu sendiri dan bukan lambang Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat malam tadi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Noh Omar.

“Kita dah bermesyuarat malam tadi dan secara konsensusnya kita bersetuju untuk meletakkan calon kita di PRK Sungai Kandis. Pada masa sama UMNO Selangor turut mengesyorkan supaya kita bertanding pakai lambang UMNO sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor mencadangkan supaya UMNO bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap UMNO dalam senario politik semasa.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Berhubung siapa calon yang akan bertanding, Mat Nadzari berkata UMNO Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan perkara itu.

“Siapa calon tidak dibincangkan langsung malam tadi, terpulang kepada pucuk pimpinan pusat untuk memutuskannya. Kita cuma ambil ketetapan untuk bertanding pada PRK itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan tentang kesediaan PAS untuk  memberi laluan kepada UMNO sekiranya parti itu (UMNO) memutuskan untuk meletakkan calon pada PRK berkenaan.

“Kalau PAS betul-betul ikhlas beri laluan, tunjukkanlah keikhlasan mereka… bekerjasama dengan UMNO atau bantu UMNO… jangan ada pertandingan tiga penjuru yang boleh merugikan pihak kita,” katanya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata PAS hanya akan meletakkan calon sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu pada PRK itu.

Menurut Takiyuddin, ia adalah bagi mengelakkan berlaku perpecahan undi dan akan mengulangi semula keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

Mengulas persiapan UMNO bagi PRK itu, Mat Nadzari berkata parti itu akan menukar sedikit pendekatan bagi memenangi hati pengundi dengan menumpukan pada usaha penerangan kepada pengundi tentang prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama berkenaan kegagalan menunaikan janji yang dibuat sebelum PRU14.

“Isu-isu Melayu, agama contohnya terlalu banyak, 75 peratus pengundi di kawasan berkenaan adalah orang Melayu jadi untuk jaga kepentingan mereka, mereka perlu mempunyai pembangkang yang berwibawa, yang betul-betul boleh wakili mereka, bukan sekadar cakap sahaja. Mereka kena beri kita peluang untuk wujudkan sekatan dan imbangan dalam kerajaan hari ini,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.