Kira-kira 100 Anggota UMNO Dari Enam Negeri Lawat Najib

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menerima kunjungan kira-kira 100 anggota UMNO dari beberapa bahagian UMNO di kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini, sejak pukul 1.30 petang hari ini.

Mereka merupakan wakil UMNO dari negeri Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan.

“Lebih 100 anggota UMNO hadir mengunjungi Najib hari ini,” kata Mohd Yassin Maan, 77, anggota  veteran UMNO Bahagian Rasah, Negeri Sembilan.

 

Menurutnya, pertemuan itu sekadar untuk menziarahi dan bertanya khabar bekas presiden UMNO itu.

Sementara itu, menurut sumber yang tidak mahu dikenali Najib dijangka mengadakan majlis kesyukuran pada Sabtu ini (14 Julai) bagi menzahirkan tanda terima kasih kepada setiap anggota UMNO atas bantuan sumbangan Tabung Harapan Najib untuk membayar baki jumlah jaminan RM500,000 di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, lokasi majlis itu belum dapat dipastikan.

Pada 4 Julai lalu, Najib, juga bekas menteri kewangan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa jawatan berhubung kes penyelewengan dana sejumlah RM42 juta milik  Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah mengenakan ikat jamin RM1 juta ke atas beliau.