UMNO Perlu Tanding PRK Sungai Kandis – Mohamad

SHAH ALAM, 10 Julai –  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini  mencadangkan agar UMNO bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sungai Kandis  atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu dalam senario politik semasa.

Bagaimanapun, katanya  berkata keputusan sama ada UMNO akan bertanding atas tiket sendiri  atau Barisan Nasional (BN) di PRK berkenaan bergantung kepada hasil perbincangan mesyuarat peringkat tertinggi BN.

“Kita perlu bertanding setiap PRK dan ini (PRK Sungai Kandis) akan menjadi latihan kepada UMNO untuk berkempen secara pembangkang buat pertama kali,” katanya ketika ditemui selepas menjadi anggota panel pada Wacana Sinar Harian berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ di sini hari ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR, meninggal dunia akibat kanser pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pula pada 21 Julai ini.

Mohamad berkata  PRK DUN Sungai Kandis perlu dilihat sebagai satu langkah dalam usaha mengubah UMNO dan BN.

Selain Mohamad, wacana itu menampilkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Anggota  Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.