Malaysia Berhak Kemuka Harga Baharu Air Kepada Singapura – Hasni

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Malaysia mempunyai hak untuk mengemukakan kadar baharu harga jualan air mentah yang ditetapkan untuk Singapura, Ketua Pembangkang Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Bekas pengerusi  Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor itu berkata hal berhubung hak itu telahpun disahkan oleh pihak peguam negara.

Malah menurutnya semakan semula terhadap kadar jualan sedia ada juga adalah dibenarkan dalam perjanjian yang dimeterai antara Singapura dan Malaysia.

“Justeru, kerajaan negeri (Johor) tidak perlu bimbang. Saya percaya (Perdana  Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai ‘political will’ untuk melaksanakan tuntutan (menaikkan kadar) ini, walaupun berkemungkinan Singapura akan mengaitkan ia dengan isu Pulau Batu Puteh selain menaikkan juga harga air terawat yang Singapura bekalkan kepada Johor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menggulas hasrat kerajaan negeri Johor yang mahu menaikkan harga air mentah yang dijual kepada republik itu pada kadar yang berpatutan dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Menurut Menteri Besar Johor  Datuk Osman Sapian, harga baharu itu berkemungkinan sama dengan kadar jualan air mentah yang ditetapkan untuk kerajaan Melaka iaitu 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Namun keputusan berhubung langkah itu belum dicapai setakat ini, biarpun sudah dibincangkan dengan Dr Mahathir.

Mengikut perjanjian air Malaysia-Singapura 1962 yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudiannya membeli semula sebahagian daripada bekalan itu yang telah dirawat oleh Singapura pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Semalam, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dilaporkan sebagai berkata bahawa pihaknya akan mematuhi sepenuhnya terma perjanjian air dengan Malaysia termasuk harga air yang termaktub di bawah perjanjian itu dan berharap Malaysia turut akan berbuat demikian.

Ini kerana perjanjian itu, katanya bukan perjanjian biasa kerana telah dijamin oleh Singapura dan Malaysia di bawah Perjanjian Pemisahan 1965 yang kemudian didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Sebarang pelanggaran akan menyebabkan Perjanjian Pemisahan yang menjadi asas bagi kewujudan Singapura sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dipersoalkan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.