Jangan Terlalu Leka Kes Libatkan Najib Sehingga Terlupa Kes Rasuah Guan Eng

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Mejar Huan Cheng Guan berkata, rakyat jangan terlalu leka dengan kes mahkamah yang melibatkan Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sehingga terlupa kes mahkamah yang melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Jelas beliau, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan yang selama ini memperjuangkan ‘Rule Of Law’ nampaknya kini hanya mengamalkan keadilan berat sebelah maka tidak mustahil sekiranya kes pembeli banglo murah Guan Eng akan digugurkan.

“Kerajaan baru ini, macam-macam boleh jadi. Peguam Guan Eng sudah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan kes rasuah melibatkan pembelian banglo di bawah nilai pasaran yang dihadapinya.

“’Rule Of Law’ yang mereka perjuangkan kini sudah jadi ‘Rule Of Jungle’. Tengoklah apa jadi dengan kes yang melibatkan Rafizi Ramli… Dia hanya dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi kesalahan mendedahkan satu muka surat laporan audit 1MDB.

“Begitu juga dengan kes yang melibatkan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa yang dibebaskan daripada tuduhan memuat naik poster palsu yang memaparkan foto Datuk Seri Najib Razak di laman sosial. Jadi apa yang hendak dihairankan sekiranya Guan Eng juga bakal bebas,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Huan, jika dulu mereka sering menuduh pentadbiran Barisan Nasional (BN) tidak adil dan kerajaan BN menguasai mahkamah dan sebagainya tetapi kini sudah jelas dan terbukti merekalah yang menguasai segalanya.

“Jadi, kita tunggu dan lihat sahajalah apa yang bakal terjadi dengan negara ini. Jika kita tidak boleh bersuara, berharaplah agar anak cucu cicit kita boleh bersuara,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, Guan Eng telah dikenakan dua pertuduhan, bagi pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Guan Eng).

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.