Dua Dimensi Baru, 12 Sekretariat Jadi Pemacu Hala Tuju Pemuda UMNO – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hala tuju pergerakan itu hari ini akan terarah kepada dua dimensi penting iaitu menjadi pembangkang yang berwibawa serta pentarbiyahan yang berterusan di semua peringkat.

Menurut beliau dua dimensi baru berkenaan akan menjadi teras kepada pergerakan itu untuk terus bergerak ke depan dan sebanyak 12 sekretariat akan ditubuhkan bagi  memastikan agenda serta matlamat berkenaan berjalan lancar.

“Pemuda harus ke depan menjadi jurubicara rakyat dan menjadi pengimbang kepada kerajaan yang ada kerana kerajaan yang ada hari ini bukanlah ‘malaikat’ yang tidak ada dosa serta kesalahan. Mereka adalah manusia biasa.

“Walaupun tidak sampai 100 hari macam-macam isu yang menyentuh perkara-perkara yang melibatkan fundametal negara. Soal agama, soal perlembagaan, soal tadbir urus dan sebagainya hakikatnya menyerlahkan kepentingan untuk Pemuda memainkan peranan membawa suara rakyat.

“Cuma pendekatan kami akan lebih bertunjangkan ilmu dan juga fakta bukan seperti mana pembangkang dahulu yang memainkann sentimen serta emosi berasaskan fitnah dan tohmah. Kita tidak akan berpegang budaya politik yang kotor tetapi yang lebih bersifat harmoni yang mana apa jua yang kita bawa bersandarkan kepada fakta dan hujah demi kepentngan rakyat serta negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO pertama selepas beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan pergerakan itu yang baru lalu.

Asyraf seterusnya menambah dimensi kedua adalah pengukuhan dalaman parti yang berpaksikan kepada 5P iaitu pentarbiahan, pengakaderan, pembudayaan ilmu, pemerkasaan rohani dan pemantapan jati diri.

“5P ini akan menjadi asas dalam membina kekuatan dalaman kami di semua 191 bahagian dan lebih 20,000 cawangan seluruh Malaysia dan kita sudah mulakan jelajah kepimpinan di Melaka, Negeri Sembilan serta Sabah.

“Kita mahu semua Pemuda UMNO di semua peringkat mempunyai tahap keyakinan untuk kita perjuangkan rakyat dan isu yang menyentuh kebajikan dan kepentingan rakyat.,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Asyraf turut memberitahu sebanyak 85 peratus muka-muka baru membarisi kepimpinan pergerakan itu di peringkat bahagian dan akar umbi dengan gabungan pelbagai lapisan kumpulan profesional seperti Doktor, peguam, jurutera, bekas pimpinan mahasiswa dan lain-lain profesion.

“Ini membuktikan semangat serta keyakinan orang muda kepada UMNO amat tinggi sekali. Malah dengan pencalonan untuk jawatan Exco Pemuda UMNO yang begitu ramai menawarkan diri termasuk daripada kilang Pemuda itu sendiri serta luar lingkungan Pemuda membuktikan masing-masing berhasrat untuk membina semula parti ini,” katanya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.