Jangan Sibuk Pasal UMNO, Rumah Mereka Sendiri Pun Banyak ‘Tukang’ – Syed Ali

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih gagal melantik barisan jemaah menteri bagi memenuhi kerusi kabinet, tetapi nampaknya mereka lebih menyibuk tentang pemilihan UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

“Pada saya, mereka sepatutnya memperbetulkan rumah sendiri termasuk mengutamakan kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhan terutama di kawasan luar bandar.

“Saya juga berpandangan kegagalan PH membentuk barisan penuh kabinet yang mantap menunjukkan dalam pakatan tersebut ada terlalu banyak ‘ tukang’ yang cuba menunjukkan kepandaian masing-masing sehingga mengatasi kuasa Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, kerajaan PH juga gagal melunaskan segala janji-janji manifesto dan tidak membawa idea pembaharuan untuk kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Mereka hanya meniru atau re-branding apa yang telah kerajaan Barisan Nasional (BN) laksanakan sebelum ini. Contohnya SPAD hanya ditukarkan kepada nama APAD termasuk PPIM dan BRIM.”

Tegasnya, kecelaruan PH sehingga dikatakan wujud beberapa kem tertentu, membuktikan ada dikalangan pemimpin PH yang begitu mabuk kuasa setelah memenangi PRU14 secara mengejut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.