UMNO Perlu Diperkukuh Sebagai Satu Alternatif Untuk Rakyat

KOTA KINABALU, 13 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu anggota UMNO negeri supaya terus memperkukuhkan parti itu agar ia menjadi satu alternatif untuk rakyat.

“Apapun tindakan yang diambil semestinya melalui muafakat antara kita. Tindakan tergopoh-gopoh akan merugikan kita,” katanya.

Salleh berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha menentukan proses pemilihan parti yang berlangsung pada 30 Jun ini akan berjalan lancar.

“Berbeza pendirian politik bukannya satu kesalahan dan tidak semestinya bermusuh. Kita amalkan politik matang demi negara dan rakyat Malaysia tercinta,” kata Salleh dalam catatan terbaru blog beliau hari ini.

Sementara itu, Salleh berkata UMNO Sabah menghormati keputusan empat parti di Sarawak yang keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN).

Katanya di Sabah masih ramai anggota dan penyokong parti yang masih setia dengan perjuangan UMNO dan tidak akan meninggalkan parti itu hanya kerana kegagalan membentuk kerajaan.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar daripada BN dan mewujudkan gabungan baharu, Gabungan Parti Sarawak (GPS).


3 months ago