Pemantau Malaysia Baru Persoal Mengapa Kerajaan PH Enggan Siasat Zeti?

Mohd Falzal Salleh

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibidas lantaran dalam menuding jari dan membuat dakwaan bertubi-tubi tanpa bukti yang nyata ala gaya zaman ‘Inquisition’ di Eropah, namun tidak bertindak kepada pemimpin-pemimpin pro-PH, terutamanya mereka yang memegang jawatan besar termasuklah penasihat kerajaan.

Sehubungan itu, Pemantau Malaysia Baru menyeru agar kerajaan PH, SPRM dan PDRM segera mengambil tindakan untuk mengheret Tan Sri Zeti ke Ibu Pejabat SPRM bagi melakukan soal siasat berkenaan peranan beliau selaku Gabenor Bank Negara Malaysia ketika duit derma untuk mempertahankan kerajaan Islam dimasukkan ke dalam akaun peribadi mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Presiden Penajanya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, berdasarkan laporan SPRM yang didedahkan baru-baru ini oleh Portal The Third Force, Zeti merupakan saksi utama atau ‘key witness’ dalam cerita fitnah ini kerana atas nasihat profesional beliaulah, Najib telah bersetuju untuk memasukkan duit USD 681 juta itu dalam akaun peribadinya malah dikatakan Zeti juga telah mengesyorkan Najib bahawa tindakan memasukkan duit tersebut telah dipersetujui pihak lain seperti SPRM, LHDN dan sebagainya.

“Kini bila isu ini disensasikan oleh kerajaan PH, Zeti membisu seribu bahasa dan buat-buat tidak tahu. Agenda sinis sesetengah pihak dan kerajaan PH amat mencurigakan dalam isu 1MDB ini.

“Soalan yang patut ditanya oleh rakyat jelata ialah mengapa Zeti tidak mendedahkan fakta ini melalui afidavit secara sukarela ke SPRM? Apa agenda tersirat beliau? Adakah tindakan Zeti dipengaruhi oleh pihak ketiga?” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Soalnya, apakah kaitan Zeti, Tun Mahathir, Tun Daim dan Datuk Seri Nor Yaacob dalam skandal Forex dan MAS tahun 80-an dan 90-an?

“Malaysia rugi lebih daripada 40 billion tetapi kenapa pula kerajaan PH tidak membuka balik fail siasatan malah memperleceh dapatan RCI Forex tersebut dengan mengatakan bagaimana kerugian RM 10 billion boleh melonjak menjadi lebih RM30 billion?

“Kalau hasil dapatan RCI Forex kita tidak boleh terima dan kita bakul sampahkan, apa guna belanja duit pembayar cukai hendak tubuh RCI 1MDB? Adakah jika hasil RCI 1MDB mendapati Datuk Seri Najib tidak bersalah, dapatan RCI 1MDB pula akan diperlekeh oleh Guan Eng dan PH?

“Jika Amerika Syarikat dan negara-negara lain boleh menyiasat ketua kerajaan mereka, kenapa pula PH diberikan kekebalan? Adakah tujuan kekebalan Raja-Raja Melayu ditarik tahun 1993 kini diganti dengan kekebalan pimpinan PH?

Soal beliau lagi, kenapa sehingga kini tiada siasatan ke atas Zeti, suaminya dan dua anaknya yang dikaitkan dalam skandal telaga tiub semasa Kementerian Pelajaran di bawah Tan Sri Muhiyiddin?

“Adakah Zeti beria-ia menyokong PH akibat terhutang budi kepada Muhyiddin kerana Syarikat Al Zair yang dipengerusikan oleh ayahnya Prof Diraja Ungku Aziz menerima habuan daripada MOE, manakala kedua-anaknya, Alif Ayman dan Aziz Ayman serta suaminya Datuk Tawfiq mengetuai pengurusan syarikat ini.

“Syarikat Al Zair telah membekalkan sistem pam untuk telaga tiub yang dikatakan tidak mengeluar air pun. Yang peliknya, bagaimana syarikat tersebut dianugerahkan pula kerja-kerja menyelenggarakan telaga tiub tersebut?”

Ujar beliau, dalam skandal kedua yang melibatkan CIMB-Southern Bank pula dikatakan Datuk Tawfiq dikatakan telah menerima komisen haram untuk membantu pihak ketiga mendapat keuntungan besar hasil dari pembocoran maklumat kewangan sulit Southern bank.

“Mungkin dah tiba masanya Zeti berkata benar, adakah beliau yang telah memberi maklumat terperinci atau sulit mengenai perihal kewangan jual beli Southern Bank yang telah digunakan oleh suaminya Datuk Tawfiq Ayman untuk mengaut keuntungan besar? Adakah isu ini mahu didiamkan juga oleh Kerajaan PH?

“Apa jaminan maklumat perbincangan Council of Elders pula tidak akan dibocorkan atau disalahgunakan?

“Bagaimanakah seseorang yang mempunyai rekod yang sebegini teruk dapat melepasi jerat SPRM? Siapakah yang melindungi si Zeti dan mengapa kerajaan PH yang melaungkan slogan ‘Rule of Law’ masih senyap?”

Tegasnya lagi, kini, semua rakyat di Malaysia terutamanya golongan belia dapat melihat dan menilai sendiri siapakah PH sebenar serta agenda yang tersirat di sebalik fitnah 1MDB. – MediaUMNO


3 months ago