Keputusan Empat Parti Di Sarawak Keluar BN Perlu Dihormati

ALOR SETAR, 12 Jun – Keputusan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak untuk meninggalkan gabungan berkenaan bagi membentuk pakatan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dihormati.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata anggota UMNO serta BN tidak perlu bersedih kerana masih ramai anggota yang tetap setia bersama gabungan berkenaan.

“Atas sifat sebuah negeri yang besar dan tentunya nak dominasi politik sendiri kita hormati mereka. Apa yang penting bagi kita ialah kita perlu terus maju dengan parti kita dan mereka dengan blok baharu mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Badan Perhubungan UMNO Kedah bersama kepimpinan UMNO bahagian seluruh negeri di sini hari ini.

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebulat suara keluar daripada BN dan akan mewujudkan GPS.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata keputusan itu diambil susulan pertimbangan dan penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah Datuk Paduka Md Rozai Shafian mengumumkan nama calon yang akan bertanding jawatan peringkat majlis tertinggi pada pemilihan UMNO 2018.

Mahdzir diumumkan sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden manakala sembilan orang menawarkan diri bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, antaranya Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim, Datuk Latt Shariman Abdullah dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang Datuk Suraya Yaacob.

Datuk Dr Mashitah Ibrahim pula diumumkan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.

Calon bagi Exco Pergerakan Wanita UMNO pula ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani Wan Mohalina Wan Mohamad, Ketua Puteri UMNO Kulim-Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Nor dan Hisyam Suhaily Othman dari bahagian Langkawi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Hasmuni Hassan, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi Ahmad Marzuki Shari’at dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok Muhammad Nur Aizat Noor Azam akan bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Calon bagi jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO pula ialah Ummi Kalsom Abdul Muthalib daripada bahagian Langkawi dan Maizatul Miza Mohd Disa daripada Puteri UMNO Bahagian Alor Setar.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.