Ahli UMNO Diingatkan Jangan Hilang Punca, Rapatkan Saf, Perjalanan Masih Jauh

KUALA LUMPUR, 11 Jun –  Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak hilang punca serta tidak hilang pedoman dalam perjuangan kerana perjalanan masih jauh ke depan dan semua pihak mesti yakin pada perjuangan.

Menurut beliau ahli parti perlu ada ‘substance’ dan mesti ada roh serta kekuatan untuk bangkit dan yakinlah pada perjuangan parti dan apa yang penting semua pihak perlu bergerak dalam satu saf barisan dan kekal bersatu padu serta tidak bercerai berai.

“Kita mesti menjadi orang parti yang ada ‘substance’. Mesti ada roh…mesti ada kekuatan. Tidak mengapalah kita terima telah ditolak oleh rakyat.

“Atas apa juga sebab nak kaji kajilah…tetapi jangan hilang punca dan jangan hilang pedoman. Perjalanan masih jauh ke depan dan kita mesti yakin pada perjuangan”, katanya.

Justeru jelas beliau seluruh ahli jangan berasa rendah diri tidak bertempat dan janganlah hilang keyakinan.

“…dan kita tetap parti yang terbesar dan kita masih ada ikhtiar masa depan hanya Allah swt yang tahu. Sebab itu harap kawan-kawan semua agar semangat terus membara dan ikhtiar masih luas di depan.

“Kemungkinan ada seribu satu kemungkinan di depan kita dan kita sempurnakanlah dulu urusan menyusun saf dalaman dan saf kepimpinan parti. Kita kekal bersatu padu dan jangan kita bercerai, jangan kita berpecah belah dan kita bergerak dalam satu saf dengan satu tekad serta kita junjung satu perlembagaan dan satu wadah perjuangan dan insya Allah UMNO akan tetap berada di persada puncak perjuangan untuk agama bangsa dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Memperkasa Perjuangan Bangsa, bersama UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan, di sini.

Tan Sri Annuar Musa seterusnya berkata dalam usaha untuk memperbaiki parti ianya tidak  harus dilaksanakan secara emosi.

“Membaca di posting-posting media sosial dan sebagainya lagi saya melihat bagaimana masing-masing mencurahkan perasaan, kekecewaan bagaimana mereka membuat penilaian terhadap apa yang telah berlaku sebelum ini dan sebagainya lagi.

“Kadangkala menimbulkan sedikit kebimbangan kepada saya takut-takut dalam keadaan emosi kita yang membuak-buak itu dengan harapan untuk memperbaiki tetapi ianya membawa kerosakan yang lebih, luka yang lebih parah kepada parti kita yang sedang kita cuba nak uruskan pada masa ini.

“Orang kata seberat-berat mata memandang berat lagi bahu memikul terutama bagi pemimpin yang berada di atas termasuklah mantan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita berazam dan kita hanya berusaha sebaik mungkin. Tetapi bila kita kalah janganlah kondem diri sendiri lebih daripada yang sepatutnya. Jangan kita lemahkan diri sendiri dan jangan tambahkan garam pada luka yang sedia ada,”, katanya.

Tambah beliau lagi apa sebenarnya yang berlaku di dalam UMNO adalah parti menguruskan masalah dalaman dengan cara tersendiri dan tidak buat seolah-olah hilang punca dan hilang pedoman.

“Kita ini parti besar…bangsa yang besar. Jangan jadi seperti dedaun di atas air yang hanya mengikut arus air. Air pasang kita naik dan air surut kita turun. Jangan kita jadi umpama buih nampak umpama besar tetapi tidak ada apa-apa di dalamnya,” ujarnya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.