Pemuda UMNO Kesal Dan Khuatir Tindakan Keterlaluan Polis Terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan hari ini  melahirkan rasa kekhuatiran terhadap tindakan dan pendekatan yang diambil pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Duta tengah malam semalam.

Tegasnya penggeledahan berterusan melebihi 18 jam yang dibuat oleh hampir 50 – 60 anggota PDRM pada malam tibanya bulan mulia Ramadan memperlihat seakan tiada belas kasihan bagi Datuk Seri Najib yang sudah pun menyatakan komitmen beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Kekhuatira saya ini ditambah dengan kenyataan oleh peguam Datuk Seri Najib yang menyatakan bahawa pihak PDRM terus menggeledah setiap bahagian rumah beliau walaupun dikatakan akan berhenti pada pukul 5 pagi.

“Saya menghargai kenyataan YB Nurul Izzah yang turut menzahirkan kekhuatiran beliau berkenaan apa yang berlaku semalam dan saya berasa lega kerana dalam Kerajaan baru Pakatan Harapan ini sekurang-kurangnya ada pemimpin yang mahu memaparkan sifat kesederhanaan mencerminkan budaya Malaysia yang penuh budi pekerti”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tegas beliau lagi pihaknya tidak mempersoalkan hak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan serta konsisten dengan undang-undang negara.

“Pun begitu saya berharap segala tindakan tersebut juga mengambilkira bahawa sehingga hari ini, Datuk Seri Najib bekas Perdana Menteri yang sudah banyak berjasa kepada negara serta menjadi wakil rakyat sejak beliau berumur 23 tahun, belum lagi didakwa di mahkamah lantas wajar diberi layanan yang adil sejajar dengan prinsip _“innocent until proven guilty”_ yang saya yakin turut didukung oleh Pakatan Harapan yang memperjuangkan demokrasi selama ini.

“Dalam Malaysia baru ini, saya berharap pihak berkuasa akan menjalankan penyiasatan secara profesional dan adil menurut lunas undang-undang negara dan bertindak secara bebas bukan di bawah telunjuk atau tekanan sesiapa”, ujarnya. –MediaUMNO


3 months ago