UMNO Parti Keramat, Tak Akan ‘Jual’ Parti Hanya Kerana Tewas PRU-14 – Tajuddin


KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berkata, pucuk pimpinan parti tidak akan sama sekali ‘menjual’ atau meninggalkan ahli UMNO begitu sahaja biarpun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jelas beliau, UMNO adalah sebuah parti keramat dan sudah pasti parti ini akan bangun dengan lebih utuh lagi.

“Ahli UMNO jangan sesekali kecewa dan putus asa. Ini satu ujian kepada kita. Esok masih ada. Akan ada cahaya di hujung terowong.

“Pucuk pimpinan sedang mengatur gerak langkah strategi untuk menjaga ahli UMNO, kita tidak akan jual atau tinggalkan ahli UMNO begitu sahaja. Perjuangan akan diteruskan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah pun mengarahkan semua ketua-ketua bahagian agar menyampaikan pesanan kepada semua akar umbi untuk terus bersatu dan jangan sesekali goyah.

“Datuk Seri Zahid mahu semua ketua-ketua bahagian berjumpa dengan akar umbi untuk memberi keyakinan kepada ahli bahawa pucuk pimpinan akan terus bersama mereka dan paling penting sekarang ini ahli perlu bersatu untuk memastikan UMNO terus hidup dan kembali kuat sebagai sebuah parti keramat.

“Kepada yang melompat parti pula, biarkan… tindakan mereka itu tidak akan sama sekali menggugat kekuatan UMNO. Hari ini adalah hari ini… esok macam-macam boleh berlaku. Dunia politik ini segalanya mungkin terjadi.. yang penting yakinlah UMNO tidak akan mati dan akan terus hidup,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.

Dalam PRU-14, Tajuddin menewaskan calon PKR, Salihuddin Radin Sumadi dan calon Pas, Zafarulazhan Zan dengan majoriti 7,712 undi. – MediaUMNO


3 months ago