Wanita UMNO : Tiada Istilah Mudah Mengalah, Tewas Bukan Tewas Selamanya


KUALA LUMPUR, 15 Mei – Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar yakin seluruh ahli pergerakan itu akan terus bangkit dalam usaha membantu parti untuk terus bergerak ke hadapan dalam mendepani cabaran hari ini.

Menurut beliau keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu bukanlah memberi erti dan maksud bahawa parti kalah selama-lamanya kerana setiap pertandingan mesti ada yang kalah dan menang.

“Wanita dan seluruh ahli UMNO akan bangkit. Tewas bukan bermaksud tewas selamanya. Mereka juga sudah lama menunggu masa hampir 60 tahun lebih. Kita baru seminggu ….Tentulah adat bertanding mesti ada yang kalah dan ada yang menang tetapi kita bukan kalah semuanya. Semangat ini mesti ada dalam sanubari wanita UMNO Malaysia.

“Apa pun kita perlu terus berjuang. Sebab itu hari ini semua Ketua Wanita UMNO bahagian hadir bagi menerima suntikan semangat daripada Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hisahmmuddin untuk melihat perkara ini supaya Wanitalah menjadi tulang belakang…menjadi segala-galanya kepada UMNO Malaysia,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, perjuangan Wanita UMNO bukan diasuh untuk mudah mengalah.

“Tidak sama sekali. Perjuangan kita hari ini benar-benar kerana memikirkan masa depan anak cucu kita. Kita tetap berhati waja dan kita akan terus bangkit dan terus mendekati rakyat seperti mana yang kita lakukan selama ini walaupun kita dalam keadaan serba kekuarangan. Kita tidak akan lemah semangat.

“Kita akan jadi pembangkang yang kuat dengan kedudukan Ahli Parlimen kita dalam menyuarakan perkara yang sewajarnya. Sudah tentu semangat ini perlu ada pada kita semua.

“Awal-awal ini lain sedikit dan kita akan bangkit dengan semangat waja dan semangat ini sudah ada di dalam diri kita semua wanita UMNO,” ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.