UMNO Kesal Sikap Kerajaan Tergesa-Gesa Tamatkan Kontrak Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Unit Komunikasi Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Datuk Nur Jazlan meluahkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tergesa-gesa memberhentikan ribuan penjawat awam di seluruh negara setelah mengambil alih kerajaan pada 10 Mei yang lalu.

Menurut beliau, tindakan pemberhentian itu tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi dalam keadaan mereka sedang menyambut kedatangan Ramadan dan Hari Raya tidak lama lagi.

“Kami amat kesal dengan tindakan itu kerana ia dibuat secara tergesa-gesa, lebih-lebih lagi ketika mereka tidak berapa hari lagi memasuki Ramadan dan  seterusnya Hari Raya Puasa.

“Sudah pasti tindakan itu dilakukan tanpa sifat belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan. Pemecatan itu pasti akan menjadi beban berat terutama mereka yang berkeluarga”, ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya UMNO bersimpati dengan mangsa penamatan kontrak perkhidmatan ini kerana mereka sebenarnya tidak bersalah dan hanya menjalankan tugas.

“Pemberhentian ini dibuat secara tidak berhemah ini dan telah memperlihatkan sikap sebenar Kerajaan Pakatan walaupun hanya beberapa hari mengambil alih kerajaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan Pakatan Harapan seharusnya memikirkan kaedah terbaik untuk menempatkan mereka yang dibuang serta merta itu dan  bukan membiarkan mereka  terkapai-kapai begitu sahaja.

“Apa yang berlaku ini jelas amat bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan bagi  untuk memenuhi harapan rakyat yang mereka laungkan selama ini.

“Kerajaan sepatutnya tidak bersikap tergesa-gesa seperti itu tanpa memikirkan nasib penjawat-penjawat awam itu, apatah lagi kini kita sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan dan seterusnya  Hari Raya tidak lama lagi,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.