BN Melaka Akan Jadi Pembangkang Terbaik Untuk Rakyat

MELAKA, 11 Mei – Barisan Nasional (BN) di Melaka akan menjadi pembangkang terbaik dalam memastikan sistem semak dan imbang dapat dilaksanakan untuk rakyat negeri berkenaan, kata Pengerusinya Datuk Seri Idris Haron.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau dan 12 lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN juga akan memastikan kebajikan mereka terus terbela apabila mewakili rakyat di kawasan masing-masing pada persidangan DUN nanti.

“Kami akan memberikan pandangan positif dan konstruktif bagi memastikan kemajuan negeri Melaka terus dicapai,” kata bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka ke-11 Adly Zahari di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Utama, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Sementara itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu kerajaan negeri itu yang dibarisi pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Adly yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.

BN gagal mempertahankan negeri Melaka selepas hanya menang 13 kerusi DUN daripada 28 kerusi bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri selepas PRU14 pada 9 Mei lepas.

BN juga hanya memenangi dua kerusi Parlimen daripada enam yang dipertandingkan iaitu Masjid Tanah dan Jasin.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.