5. Tun Dr. Mahathir

Tun Dr. Mahathir bin Haji Mohamad telah dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Lorong Kilang Ais Seberang Perak, Alor Setar Kedah. Bapanya bernama Mohamad bin Iskandar dan Ibunya Wan Tempawan binti Wan Hanafi. Tun Mahathir merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik terdiri daripada empat orang perempuan dan lima lelaki. Salasilah di sebelah ibunya mempunyai darah pemimpin yang merupakan warisan dari keturunan Wan Su iaitu Dato’ Temenggong Kulut, Bukit Lada. Antaranya ialah Wan Mohamad Saman, orang yang memperkenalkan sistem terusan di Kedah yang namanya telah dirakamkan sebagai Terusan Wan Mohamad Saman.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Seberang Perak, Kedah dan bersambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Persekolahannya tergendala ketika Jepun memerintah Malaya.

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, beliau telah kembali menyambung pelajarannya di sekolah yang sama sehinga tamat Senior Cambridge. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pelajarannya ke King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1947. Pada tahun 1952, beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dan pada tahun berikutnya Tun Mahathir membuat housemanship di Hospital Besar, Pulau Pinang. Di antara tahun 1954 hingga 1956 Tun Dr. Mahathir menjadi Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Star dan kemudiannya di Pulau Langkawi. Pada tahun 1957, beliau telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan membuka klinik MAHA yang merupakan klinik yang pertama yang diusahakan oleh seorang anak Melayu di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Tun Dr. Mahathir mempunyai aspirasi dan semangat juang yang tinggi dalam usaha beliau untuk membantu anak-anak bangsa terutama orang-orang Melayu agar lebih maju dari segi akademik dan pertumbuhan ekonomi. Sikap dan tanggungjawab beliau amatlah dihargai malah atas sebab itulah beliau telah digelar Dr UMNO oleh masyarakat setempat ketika itu.

Tun Mahathir merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan yang paling lama berkhidmat bermula dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003. Beliau berkahwin dengan YBhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar. Bapa beliau adalah anak Melayu yang pertama menjadi Guru Besar di sebuah Sekolah Inggeris dan merupakan seorang bapa yang tegas dan amat menitikberatkan tentang pendidikan anak-anaknya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berkecimpung di dalam arena politik sejak usia yang muda. Pemerhatian dan pembacaan beliau sejak zaman pemerintahan Jepun dahulu membuatkan beliau lebih bersemangat untuk melakukan pelbagai perubahan untuk bangsa Melayu. Beliau mempunyai misi dan visi dalam menentukan hala tuju bangsa beliau sendiri terutama penyatuan bangsa Melayu

Segalanya berlaku ketika beliau menunggu keputusan peperiksaan Cambridge pada 1945. Pada ketika itu, beliau memulakan penglibatannya di dalam bidang politik bersama rakan-rakan yang lain. Dengan dorongan semangat yang tinggi, beliau dengan beraninya menentang Malayan Union dan menubuhkan Kesatuan Melayu Kedah dan Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Pada 1946, beliau aktif di dalam SABERKAS (Sayang Akan Bangsa Ertinya Redha Korban Apa Segalanya). Apabila Kongres SeMalaya diadakan pada tahun itu, beliau telah turut sama dalam peristiwa bersejarah tersebut dan beliau merupakan salah seorang pengasas UMNO apabila Kongres pertama membuat resolusi untuk menubuhkan UMNO dan membuka keahliannya. Beliau adalah seorang yang rajin menulis dan telah banyak menulis kisah-kisah mengenai masyarakat Melayu di dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Straits Times dan Sunday Times dengan menggunakan nama penanya “Che Det”.

Di dalam pilihan raya Mei 1969, beliau tewas di kawasan Kota Setar Selatan kepada calon PAS. Beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak 1965 sehinggalah beliau disingkirkan dari parti pada 26 September 1969 kerana lantang mengkritik pucuk pimpinan UMNO di bawah kepimpinan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Setelah dipecat dari UMNO, beliau semakin berani menyuarakan pendapat beliau di mana beliau telah menerbitkan sebuah buku ‘The Malay Dilemma’ yang memperkatakan mengenai masalah ekonomi dan Bumiputera pada ketika itu. Beliau telah memberi beberapa pandangan untuk menyelesaikan masalah tersebut malahan beliau turut mengkritik ketidakcekapan kerajaan ketika itu dalam usaha untuk memulihkan keadaan berikut. Walaupun buku tersebut diharamkan, ada beberapa perkara dan pandangan yang hampir sama dengan Dasar Ekonomi Negara (DEB) yang dilancarkan pada 1971 yang menerangkan bagaimana untuk memperbaiki keadaan Bumiputera ketika itu.

Di dalam buku tersebut, Tun Dr Mahathir telah membidas sikap fanatik orang Melayu yang sentiasa menyalahkan takdir dan sering menerima kekalahan melalui sifat pasif mereka. Pada 1970, Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman telah meletakkan jawatan dan digantikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Ketika itu Tun Dr. Mahathir kembali aktif dalam UMNO dan mendapat sokongan ramai. Kekalahan dan kekecewaan sebelum ini tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berusaha untuk memperjuangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan dengan orang-orang Melayu.

Setelah diterima kembali di dalam UMNO pada 7 Mac 1972, dan terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 25 Jun 1972. Pada tahun yang sama beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi. Pada 30 Disember 1972 beliau telah dilantik sebagai Senator oleh Dewan Undangan Negeri Kedah. Pada 1973, beliau telak dilantik sebagai Ahli Dewan Negara namun terpaksa melepaskan jawatan pada tahun berikutnya untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Umum 1974 di kawasan Parlimen Kubang Pasu.

Tun Dr Mahathir telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu dengan menang tanpa bertanding di dalam Pilihan Raya Umum 1974 dan telah mewakili kawasan Parlimen ini sehingga 2004. Di dalam kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974. Tindakan pertama beliau selaku Menteri ketika itu ialah mengubah dasar pendidikan negara dengan melaksanakan usaha-usaha untuk membasmi dan menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan kepada semua. Tindakan kedua beliau ialah meminda Akta Universiti dan Kolej 1974 dengan meletakkan pentadbiran universiti secara langsung di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah mendapat banyak tentangan serta halangan daripada ahli akademik dan mereka yang terlibat di dalam pendidikan, namun beliau tetap dengan segala tindakan yang dilakukannya dan telah berjaya melenyapkan segala kritikan-kritikan terhadap dasar-dasar pendidikannya.

Dalam satu rombakan kabinet, beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri dari 1 Januari 1978 sehinggalah beliau menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, apabila Allahyarham Tun Hussein Onn meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan. Tun Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 16 Julai 1981. Dalam tahun yang sama Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO ketika berusia 55 tahun. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri sehinggalah beliau menyerahkan jawatan tersebut kepada YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 9 Januari 1999. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan mulai 18 Julai 1981 sehingga 1986

Di dalam pemilihan parti UMNO pada 1987, Tun Dr Mahathir telah mengalahkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengekalkan jawatan Presiden dan pada 1990 dan 1993, sekali lagi Tun Dr Mahathir bin Mohamad menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti. Di bawah pentadbiran Tun Mahathir, UMNO yang menjadi tunggak kepada Kerajaan Barisan Nasional telah memenangi kesemua Pilihan Raya Umum pada 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Tun Dr. Mahathir telah digelar sebagai “ Bapa Pemodenan Malaysia ” dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun mulai 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Sebagai pemimpin negara, Tun Dr. Mahathir telah membawa banyak perubahan-perubahan kepada rakyat dan mengatur program untuk generasi yang membangunkan bangsa Melayu agar setanding dengan mana-mana bangsa di dunia. Banyak telah diperkenalkan dan kejayaan-kejayaan yang besar dicapai di zaman pemerintahan beliau dari segi mengubah corak pemikiran, ekonomi, pendidikan, etika sosial dan budaya hidup rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu dalam menghadapi era globalisasi dan liberalisasi untuk menghadapi abad ke-21.

Tun Dr Mahathir telah melakukan banyak perubahan di dalam pentadbiran negara. Semenjak awal pelantikan, beliau telah menyeragamkan sistem dan cara bekerja dengan mengadakan sistem kad perakam waktu, pengenalan tag nama, sistem simpanan fail, urusan surat menyurat dan pos, panduan dan penyelarasan dalam segala urusan pejabat. Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan slogan di dalam pentadbiran awam negara di antaranya Kepimpinan melalui Tauladan, Dasar Pandang ke Timur dan Penerapan Nilai-Nilai Islam di dalam pentadbiran. Melalui usaha ini, telah banyak perubahan telah dilaksanakan seperti etika kerja yang baik, penerapan nilai-nilai murni yang positif, rajin, efektif serta efisyen dan lain-lain. Beliau juga telah melancarkan usaha memerangi Rasuah dengan slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” kepada semua pegawai dan kakitangan kerajaan.

Di zaman pentadbiran beliau, masalah ekonomi dunia telah dilanda kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara seluruh dunia terutama negara-negara Asia seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Beliau telah berjaya menyelesaikan masalah ini dengan menambat mata wang ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika. Badan Kewangan Dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) telah mengkritik tindakan beliau namun ia terbukti berjaya apabila Malaysia merupakan satu-satunya negara yang terlepas dari belenggu kegawatan dan pelbagai syarat yang ditetapkan oleh mereka. Tindakan berani dan bijak ini telah mendapat pujian daripada Horst Kohler, Pengurus Besar IMF.

Tun Dr Mahathir mempunyai aspirasi yang begitu tinggi untuk menyatukan setiap matlamat negara ke arah pembentukan sebuah negara yang membangun. Beliau mempunyai pandangan yang jauh untuk kesejahteraan dan kemakmuran, dan menebus maruah bangsa, memajukan negara dan meletakkannya di persada antarabangsa. Segala perancangan adalah di dalam bentuk jangka panjang menunjukkan satu titik permulaan dan penyatuan negara secara keseluruhannya. Tun Dr Mahthir telah berjaya merealisasikan impian dan harapan rakyat selaras dengan kehendak Wawasan 2020 ke arah kemajuan negara.Wawasan 2020 yang telah diperkenalkan oleh beliau dijadikan sebagai asas dan panduan untuk mencapai matlamat negara yang maju dan sistematik dari segi sains dan teknologi, ekonomi dan infrastruktur bertaraf dunia. Ia merupakan idea yang akan membawa negara ke arah mercu dengan mempunyai panduan hala tuju tindakan di masa hadapan.

Beliau yakin dan percaya bahawa setiap rakyat perlu memainkan peranan agar wawasan ini akan berjaya dilaksanakan menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi menjelang tahun 2020. Untuk mencapai segala matlamat yang dirancang, beliau telah merancang strategi untuk meghadapi beberapa dugaan dan cabaran kepada generasi-generasi yang akan datang.





UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2016 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE