Pusat Dagangan Dunia KL Putra

PUSAT DAGANGAN DUNIA KL PUTRA MENGINTERGRASI DAHULU DAN SEKARANG

Konsep Reka Bentuk

Projek pembangunan semula Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menyaksikan mercu tanda ikonik ini ditransformasikan menjadi Pusat Dagangan Dunia KL Putra yang menampilkan konsep persekitaran gaya hidup bersepadu. Ianya merangkumi pembangunan menara hotel dan pejabat 70 tingkat, dewan-dewan baru termasuk Dewan Tun Razak yang bertaraf dunia, masjid yang boleh menampung 5000 jemaah, podium beli belah, serta menaik taraf Dewan Merdeka dan Menara Dato ‘Onn yang merupakan ibu pejabat UMNO.

Tema seni bina projek transformasi ini diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak-corak dan lipatan-lipatan unik yang terdapat pada sampin, kelok keris serta ukiran hulu. Konsep ini akan dapat dilihat pada menara 70 tingkat, yang diinspirasikan daripada lipatan sampin yang membaluti keris. Ia melambangkan kepentingan budaya Malaysia pada bangunan ini, dimana corak tradisional sampin digunapakai menjadi replika bahagian hadapan luar Dewan Putrade. Konsep ini melambangkan gabungan yang lama dan yang baru, menjadikan tempat ini tumpuan terbaru di Kuala Lumpur yang mengekalkan struktur lama sebagai mengingati masa lampau.

Menara 70 tingkat yang akan dibina di tapak medan letak kereta Hentian Putra akan mempunyai keluasan lantai 1.2 juta kaki persegi untuk pejabat, hotel enam (6) bintang yang mengandungi 250 bilik berserta sebuah restoran/ruang rehat yang mempunyai pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. Reka bentuk menara 70 tingkat ini bersempena ulang tahun ke-70 tahun UMNO dan ia akan dijadikan ibu pejabat UMNO yang baru.