Perjuangan UMNO Beri Pengertian Mendalam, Pertahan Agama, Bangsa, Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan tanggungjawab digalas beliau dalam memimpin parti adalah suatu amanah yang membawa pengertian mendalam bagi dirinya.

Katanya ini kerana, beliau perlu memastikan bahawa parti keramat ini perlu dilihat unggul dalam menjadi milik kepada 3.3 juta ahlinya di samping memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

“Peranan institusi Presiden UMNO amat besar dalam memimpin dan menjaga perjalanan parti… perlu memastikan asas penubuhan parti demi agama, bangsa dan negara terus dipertahankan.

“Presiden UMNO perlu memastikan parti ini yang pernah tewas angkara fitnah kekal relevan dan kembali diyakini. Presiden UMNO perlu memastikan parti ini terus berpihak kepada rakyat di setiap masa dan tempat.

“Menjadi Presiden UMNO perlu teguh dan berani menghadapi segala rintangan dan cabaran. Selaku Presiden UMNO perlu terus berpegang kepada kebenaran dalam keadaan apa sekali pun. Jika Presiden UMNO terpesong daripada itu walau sekelumit cuma, maka lenyaplah jati diri UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun katanya, segala pengorbanan yang diberikan ini adalah berbaloi kerana ianya dilakukan demi membawa perjuangan demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Perjuangan untuk UMNO juga bermaksud perjuangan tiada kesal dan sesal walau betapa keras harga yang terpaksa dibayar demi memastikan parti ini terus utuh. Nukilan ini tercatat tatkala mengenangkan begitu banyak kisah suka dan duka menjadi Presiden UMNO.

“Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan dan keazaman untuk diri mengabadikan perjuangan ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.