Negaraku Dalam Bahasa Mandarin: Wanita UMNO Bidas KPM

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Noraini Ahmad membidas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberi alasan video nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku dalam bahasa Mandarin adalah bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikan lagu itu.

Jelas beliau, sekiranya ingin memberi maksud, seharusnya bahasa Melayu yang diajar dengan lebih lanjut dan bukannya lagi Negaraku dialih kepada Bahasa Mandarin kerana bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu.

“Sekiranya anak-anak di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan maka sesuatu harus dilakukan bagi mengatasi masalah ini dan bukannya mengambil jalan mudah seperti menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa lain.

“Baik sekolah jenis kebangsaan atau sekolah agama sekalipun, penekananan bahasa Melayu harus diutamakan dan bukannya hanya memberi penekanan kepada bahasa ibunda. Tidak salah mengagungkan bahasa ibunda tetapi bukan bererti ia bahasa ibunda dilebihkan daripada bahasa kebangsaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Noraini, lagu Kebangsaan adalah lambang kedaulatan negara. Jika kedaulatan negara sudah tidak lagi dihormati maka apa lagi yang mahu kita pupuk di jiwa anak bangsa yang bakal menjadi pemimpin masa depan ini.

Justeru, Wanita UMNO mendesak agar KPM menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas kerana ini bukan perkara yang boleh dianggap mudah.

Untuk rekod, Negaraku tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekali pun semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah dan hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Semalam tular video berdurasi 1.22 minit di mana kelihatan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa mandarin secara beramai-ramai di dalam kelas tetapi tidak diketahui lokasi dan bila rakaman itu dibuat.

Akibat daripada itu, media sosial dihujani dengan komen netizen tanpa mengira agama dan bangsa menyelar tindakan sekolah tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.