Pulau Pinang Beralih Ke Fasa Dua PPN Rabu Ini – Ismail Sabri
Beliau berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri di bawah PPN dengan mengambil kira nilai ambang negeri berkenaan.
Menurutnya keputusan peralihan fasa bagi Pulau Pinang berikutan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000.
Selain itu, kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) mencapai tahap sederhana dan penilaian kapasiti untuk memberikan maklum balas yang berada pada tahap memadai serta kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus.
“Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.
Pada 3 Julai lepas, beliau mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN bermula hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata MKN telah memutuskan bahawa semua jenis barang dagangan di kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya serta pasar mini boleh dijual kepada pelanggan sepanjang tempoh PPN.
“Ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan pemilik premis yang menutup sebahagian seksyen barangan di premis perniagaan mereka dan tidak dijual kepada pelanggan,” katanya.
Beliau juga berkata premis makanan bagi Fasa Satu dan Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.
Bagaimanapun, katanya premis makanan di semua kawasan PKPD termasuk mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur hanya beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
Menurutnya mereka yang berkenaan hanya perlu menunjukkan janji temu MySejahtera dan mendapatkan kebenaran polis selain maksimum tiga orang dibenarkan dalam kenderaan termasuk pemandu bagi pergerakan mendapatkan vaksin.
Beliau berkata sidang MKN turut memutuskan untuk membenarkan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kawasan PKPD beroperasi dari 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan kapasiti 60 peratus kehadiran pekerja bagi menguruskan penyaluran skim bantuan kerajaan.
“Bagaimanapun, bagi pejabat KWSP yang kecil seperti di kawasan luar bandar, jumlah pekerja dibenarkan dengan kapasiti maksimum,” katanya. – BERNAMA