Sejarah Pergerakan Pemuda

Pergerakan Pemuda lahir tiga tahun setelah tertubuhnya UMNO. Pada mulanya ia dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan penubuhannya berlaku di perhimpunan agung UMNO yang bersidang di Butterworth pada 26 Ogos 1946. Kapten Hussein Onn telah dipilih mengetuainya.

Sejak itu lahirlah satu tenaga penggerak dan pendorong yang gigih dalam UMNO dan bertindak sebagai tulang belakang dan sayap kanan kepada seluruh perjuangan UMNO hingga sekarang.

Pemuda menjadi pelapor kepada banyak kejayaan yang telah dicapai oleh UMNO dan ramai pemimpin Pemuda kemudiannya mengambil alih tugas-tugas penting dalam kerajaan.

Apabila Hussein Onn dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO, Dato Abdul Razak bin Hussein telah dipilih memegang teraju pergerakan Pemuda. Namun Abdul Razak merasakan bahawa lebih wajar baginya melibatkan diri dalam badan induk parti. Persefahaman telah tercapai bagi dia bertukar tempat dengan Sardon Jubir

Perjuangan UMNO pada masa itu ialah membebaskan Negara dari penjajah British dan Pemuda menjadi penggerak penting. Sardon berjaya mengubahkan cogankata UMNO dari HIDUP MELAYU kepada MERDEKA bagi meniupkan bara kemerdekaan ke dalam diri setiap pemuda dan memilih 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan.

Selepas 13 tahun, pimpinan Pergerakan Pemuda beralih kepada Senu Abdul Rahman pada 1964. Semangat Pemuda Tahan Lasak dan buku Rovolusi Mental diperkenalkan bagi mengubah pemikiran orang Melayu.

Harun Idris mengambil alih pimpinan Pemuda pada 1971 dan dibawahnya Pemuda membawa imej sebagai kumpulan pendesak. Ketika itu Dasar Ekonomi Baru sedang diperkenalkan oleh kerajaan dan Pemuda memainkan peranan penting bagi melaksanakannya.

Syed Jaafar Albar muncul sebagai Ketua Pemuda pada 1976 dan berupaya merapatkan semua pengerakan itu kepada parti induk. ‘Singa UMNO’ ini hanya sempat memegang teraju selama enam bulan apabila dia meninggal dunia.
Pimpinan Pemuda UMNO jatuh ke tangan Suhaimi Kamaruddin pada 1977 dan beliau cuba menukar slogan perjuangan kepada ‘Pemuda Era Bertindak’.

Suhaimi tidak berupaya mempertahankan jawatannya di pemilihan pada 1982. Tempatnya diambil alih oleh Anwar Ibrahim, seorang bekas pemimpin pelajar dan belia yang popular dan berkesan.

Di bawah Anwar Pengerakan Pemuda kembali bersemangat dan beliau berjaya membawa pemuda seiring dengan perubahan pemerintahan ke era baru. Beliau menggesa supaya Pemuda menjadi Angkatan Penggerak Zaman dengan mengutarakan agenda membasmi resuah dan kemiskinan serta mempunyai memberi peluang hak bersuara dan menyampaikan kritikan.

Anwar tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda pada 1987 sebaliknya bertanding dengan jayanya bagi kerusi Naib Presiden. Gagasan Anwar diteruskan oleh Najib Tun Razak yang juga mengadakan perhubungan rapat dengan semua peringkat kepimpinan dengan menganjurkan kursus ‘Siri Perdana’.

Selepas Najib, pimpinan beralih kepada Abdul Rahim Tamby Chik. Belum genap setahun mengetuai Pergerakan Pemuda, Rahim terpaksa berundur buat seketika bagi menyelesaikan masalah peribadinya dan jawatan Ketua telah dipangku oleh Nazri Aziz. Rahim kemudiannya kembali memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Januari 1996.








UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2000-2014 UMNO MALAYSIA

[ Log in ]


PageRank Checker