Kembalikan Kegemilangan Tabung Haji, RCI Perlu Jujur Dan Terbuka- Noor Azleen

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Tabung Haji (TH) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berpandangan bahawa RCI ini adalah perlu untuk mengembalikan keyakinan fungsi dan kredibiliti peranan TH sebagai sebuah institusi penting bagi umat Islam.

“RCI ini perlu jujur dan terbuka untuk mengenal pasti sebarang kelemahan tadbir urus, ketidakcekapan governan serta mengenal pasti isu berkaitan integriti dan kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh lembaga mahupun pentadbiran TH sebelum ini.

“Kebertanggungjawapan (accountability) setiap mereka yang terlibat wajar dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah beliau lagi, cadangan Kementerian Kewangan untuk meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 perlu hanya dilihat daripada segi merit dan keperluannya setelah semua hasil dan dapatan RCI lengkap dan dibentangkan di Parlimen.

“Pemuda UMNO Pasir Gudang berpandangan bahawa cadangan terbaharu Kementerian Kewangan ini dilihat mendahului proses RCI berkenaan TH, tanpa mengambil kira hasil serta dapatan RCI yang masih belum berjalan.

“Apa juga bentuk cadangan daripada kerajaan baik melalui penubuhan RCI dan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 haruslah menyeluruh dengan menumpukan kepada usaha untuk mengangkat kembali martabat, mengembalikan keyakinan serta kredibiliti TH sebagai institusi dan instrumen ekonomi penting di Malaysia,” jelas beliau.

Jelas Noor Azleen lagi ini kerana TH sangat dekat dengan umat Islam di Malaysia, selain saban tahun terkenal dan mendapat pengiktirafan dunia dengan kecekapan TH menguruskan ribuan jemaah haji, ianya juga telah berperanan sebagai sebuah instrumen ekonomi penting serta diyakini bagi umat Islam di Malaysia.

“Boleh dipercayai (credible) dan diyakini (trusted), urusniaga dan pelaburan yang suci serta bersih dari sebarang unsur riba, dan patuh syariah adalah antara ciri-ciri yang sememangnya sinonim dengan institusi ini.

“Maka tidak hairanlah apa juga isu dan perkembangan yang menyentuh TH mendapat perhatian umum serta akan turut menyentuh sensitiviti sebahagian besar umat Islam di Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.