Khairy Nafi Dakwaan Tidak Hantar Vaksin Secukupnya Ke Selangor

TANJONG KARANG, 28 Jun – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan Persekutuan tidak menghantar vaksin secukupnya ke Selangor.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata setakat semalam, Selangor menerima sebanyak 1,367,306 dos vaksin COVID-19 dengan baki 322,606 dos belum digunakan.

Semalam, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Twitter mendakwa kapasiti vaksinasi terkini di Selangor adalah sebanyak 87,616 dan sekiranya tiada penambahan dos vaksin diberikan, beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri itu terpaksa ditutup.

“Jadi tuduhan vaksin tidak dihantar ke Selangor tidak betul sebagaimana Exco Kesihatan ada buat kenyataan sebelum ini. Kita memang hantar vaksin dan ada baki di Selangor.

“Saya bermesyuarat dengan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) sebelum ini, dan pada masa itu kerajaan Selangor sendiri mengatakan bahawa kapasiti untuk Jun adalah 40,000 dos setiap hari dan Exco Kesihatan tidak hadir semasa mesyuarat itu.

“Kita bagi bekalan ikut kapasiti itu. Saya tidak pasti dari mana exco memperoleh angka 80,000 itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PPV Tanjong Karang di sini hari ini.

Khairy berkata bulan depan pihaknya akan meningkatkan lagi kapasiti di Selangor sehingga 130,000 dos sehari.

Pada masa sama, beliau meminta agar kerajaan Selangor mempercepatkan proses vaksinasi di negeri itu kerana dilihat agak perlahan iaitu pada kadar 76 peratus berbanding negeri-negeri lain yang mencatatkan lebih 80 peratus.

“Setakat 27 Jun, kadar penggunaan paling tinggi adalah negeri Melaka sebanyak 94 peratus, Terengganu dan Negeri Sembilan (92 peratus) selain semua negeri telah melebihi 80 peratus kecuali Selangor.

“Saya telah usahakan supaya negeri Selangor mempercepatkan kapasiti penggunaan vaksin dan buka lebih banyak PPV di setiap daerah mulai Julai. Saya tak nak vaksin kita duduk dalam peti sejuk,” katanya.

Mengenai maklumat tular mengenai vaksin yang dikatakan kini dijual kerajaan Selangor menerusi aplikasi SElangkah, beliau berkata Selangor ada menjalankan program perintis bagi pembelian vaksin untuk kegunaan pekerja barisan hadapan ekonomi.

“Kerajaan Selangor meminta supaya dapat dibuat secara perintis dahulu kerana mahu melihat dari segi sistem dan perjalanan sama ada lancar atau tidak, sebab itu kita lepaskan dulu sedikit (vaksin) kepada Selangor. Saya difahamkan semalam telah dimulakan di sebuah PPV di Selangor,” katanya.

Mengulas desakan agar sektor perkilangan dipercepatkan vaksinasi apabila ia dikatakan menjadi punca wujudnya kluster, Khairy memberitahu Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerja­sama Awam-Swasta (Pikas) akan diperluaskan Julai ini.

“Kita sedang memperhalusi, tanpa mengganggu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada rakyat. Mungkin dalam dua atau tiga hari akan saya putuskan jumlah vaksin kepada sektor perkilangan dan industri lain seperti pembinaan,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata pembukaan PPV di Tanjong Karang bertujuan memendekkan waktu perjalanan bagi penerima di sekitar kawasan itu sebagaimana cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.

“Sebelum ini, penerima harus melakukan perjalanan ke Kuala Selangor atau Puncak Alam untuk menerima vaksin mereka,” katanya sambil menambah, pusat itu dapat memberikan vaksin sehingga 1,000 orang setiap hari. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.