WHO Digesa Minta Dunia Iktiraf Semua Jenis Vaksin – Khairy

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) digesa untuk meminta seluruh negara mengiktiraf semua jenis vaksin COVID-19 yang disenarai WHO, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata panduan WHO perlu dijadikan rujukan setiap negara memandangkan setiap vaksin yang disyorkan badan itu bertujuan untuk kegunaan kecemasan dalam menangani wabak COVID-19.

Katanya sekiranya seluruh dunia mengiktiraf semua vaksin COVID-19, isu diskriminasi terhadap jenis vaksin yang diguna pakai tidak akan timbul.

Jelasnya, Kesatuan Eropah ketika ini hanya menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca manakala China hanya meluluskan vaksin buatan negara tersebut iaitu Sinovac dan Sinopharm.

“Persoalannya sama ada negara di seluruh dunia akan bersetuju untuk menerima semua vaksin yang telah mendapat kelulusan WHO bagi kegunaan kecemasan. Atau sama ada negara di seluruh dunia menerima semua vaksin.

“WHO perlu tingkatkan lagi usaha dan meminta semua negara di dunia untuk mengiktiraf vaksin yang telah disenaraikan WHO. Jika tidak ada negara yang lakukan diskriminasi berdasarkan vaksin yang diberi dan itu bukan cara untuk keluar daripada pandemik ini bersama-sama,” katanya selepas meninjau hari pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata pengoperasian penuh iaitu 10,000 suntikan sehari di PPV itu dijangka akan tercapai kurang dua minggu lagi dengan 3,000 suntikan diberikan hari ini.

Menurut beliau peningkatan kepada 5,000 suntikan dos sehari akan diberikan dalam tempoh tiga hari.

Sementara itu, beliau berkata golongan pelarian akan disuntik vaksin jenis CanSino yang bakal diterima akhir Julai ini memandangkan ia melibatkan satu dos sahaja.

“Untuk golongan pelarian senang kita bagi satu dos kerana susah bagi dua dos sebab sifat komuniti pelarian di sini, sukar untuk akses. CanSino kita dah runding, kita akan terima akhir Julai,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.