Semoga Misi Kemanusiaan UMNO Ke Palestin Berada Di Dalam Lindungan Allah SWT – Presiden

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli UMNO mengucapkan selamat pergi dan selamat kembali kepada pasukan UMNO ke Palestin, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Di dalam satu perkongsian di laman Facebooknya, Ahmad Zahid berdoa semoga semua yang terlibat sentiasa berada di dalam lindungan Allah S.W.T dalam menjalankan misi kemanusiaan di sana.

“Semoga misi Biro Kebajikan UMNO mendapat ganjaran pahala oleh Yang Maha Esa. Firman Allah S.W.T: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa”,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Ahmad Zahid juga mengulas bahawa Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin UMNO telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam, Sabtu.

“Mereka dalam misi membawa sumbangan untuk rakyat Palestin dan keperluan hospital di sana.

“Misi itu diketuai oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Mereka akan bekerjasama erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam misi itu,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, rombongan UMNO itu akan turut membantu memperbaiki kerosakan Masjid Al-Aqsa.

Begitu juga katanya, UMNO sebelum ini melancarkan tabung untuk misi bantuan kemanusiaan Palestin iaitu Tabung Muafakat Palestin.

Pada awal pagi semalam, majlis pelepasan anggota misi secara ringkas disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili Presiden.

Misi selama dua minggu itu yang bermula semalam hingga 5 Julai bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia dan UMNO kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu dan terbaharu baru-baru ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.