Cukuplah Mempolitikkan Titah Agung, Laksanakan Sahaja Apa Yang Dititahkan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap kerajaan dapat memahami sebaiknya seperti yang dititahkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Menurut Asyraf, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah menzahirkan bahawa ahli-ahli Parlimen perlu membahaskan berkenaan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

“Kenapa susah faham titah Agong? Apa yang susah sangat nak faham titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu semalam? Apa titah Tuanku?

“Parlimen harus bersidang secepat mungkin, Tuanku juga sebut Darurat tidak perlu diteruskan selepas 1 Ogos 2021. Jadi apa maksud secepat mungkin?

“Pastinya tidak boleh melangkaui 1 Ogos, kerana titah jelas minta bahas Ordinan Darurat. Lepas 1 Ogos sudah tidak relevan kerana Ordinan Darurat tidak lagi perlu dibahaskan kerana Darurat dititahkan untuk ditamatkan!” tegas beliau.

Jelas beliau lagi, maksud secepat mungkin pastinya adalah bukan bulan September atau Oktober malah bukan juga apabila mencapai imuniti kelompok sebagaimana Perutusan Perdana Menteri pada 15 Jun lalu.

“Maksudnya antara sekarang hingga sebelum 1 Ogos 2021. Cukup-cukuplah mempolitikkan titah Tuanku. Laksanakan sahaja apa yang dititahkan,” ujar beliau.

Sementara itu, menerusi hantaran berlainan Asyraf juga berharap Pejabat Perdana Menteri mengambil pendekatan lebih berjiwa besar dengan merendah diri menjunjung kasih atas segala titah nasihat dan teguran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja.

“Kadangkala merendah diri, seraya bermuhasabah dan melakukan koreksi atas segala titah teguran walaupun tiada penghargaan diberikan, tidak akan sedikitpun mengurangkan kewibawaan kita,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.