Titah Agong Perlu Dijadikan Pedoman Kepada Kerajaan, Tangani Pandemik COVID-19 – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Wanita UMNO Malaysia merafakkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertemu dengan para pemimpin parti politik negara dan mengadakan Perbincangan Khas bersama DYMM Raja-Raja Melayu bagi membincangkan situasi rakyat dan negara dalam mendepani penularan COVID-19.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang dikeluarkan semalam dapat dijadikan panduan dan pedoman kepada kerajaan dalam menguruskan pentadbiran negara dan menangani pandemik ini.

“Sesungguhnya titah Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah cerminan keprihatinan institusi diraja terhadap rakyat dan negara ketika zaman sukar ini.

“Sekali lagi Wanita UMNO menjunjung kasih atas keprihatinan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Ia menjadi bukti Prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dalam keluhuran Perlembagaan Malaysia terus subur,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Semasa Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Perjumpaan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Perlis yang diwakili oleh Raja Muda Perlis. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.