Semua Kilang Minuman Keras Ditutup Serta-merta

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebagai makluman kesemua sektor perkilangan ditutup kecuali 12 kategori sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0.

Menurutnya walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas dengan minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas.

“Sehubungan dengan itu, MKN (Majlis Keselamatan Negara) hari ini bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Media melaporkan semalam tular di laman sosial sekeping imej menunjukkan sekeping surat didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang memberi kebenaran operasi kepada sebuah syarikat pengeluar arak, namun kesahihan surat berkenaan tidak dapat disahkan sehingga kini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti di Sarawak dan Sabah bermula dari 3 hingga 16 Jun ini.

Beliau berkata PKPD di dua lokaliti di Mukah, Sarawak melibatkan Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum Anak Anchih, Sungai Duan, sementara di Sabah ia membabitkan tiga lokaliti di Kota Belud iaitu Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau serta Kampung Simpangan di Tuaran.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan pelanjutan PKPD di Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak hingga 16 Jun ini, sementara PKPD di Sekolah Kebangsaan Bakerkong, Bakerkong, Tanjung Manis ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua kawasan tersebut bermula dari 20 Mei hingga 2 Jun.

Selain itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah turut ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 12 Jun.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 295 ujian saringan dan 40 daripadanya disahkan positif COVID-19. KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” katanya.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam, beliau berkata seramai 684 individu ditahan termasuk 630 dikompaun, 45 direman manakala sembilan lagi dijamin.

Berhubung Operasi Benteng, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 1,339 tangkapan dilakukan selain 601 kes rampasan direkodkan dan 229 kes pengusiran, sejak 1 Jan lepas.

Dalam tempoh sama juga, 3,523 pendatang tanpa izin dan 211 tekong ditahan dengan nilai rampasan berjumlah RM219.4 juta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.