Rentas Negeri: Melaka Cadang Wajibkan Lulus Ujian Saringan COVID-19

MELAKA, 1 Jun – Kerajaan negeri Melaka mencadangkan supaya semua individu yang diberi kelulusan untuk merentas negeri diwajibkan lulus ujian saringan COVID-19 sebelum mereka dibenarkan untuk berbuat demikian.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata cadangan tersebut telah dipersetujui oleh beberapa pihak untuk dilaksanakan di seluruh negara, namun tertakluk kepada keputusan teknikal yang akan diputuskan nanti.

“Tindakan itu bertujuan sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan hanya individu yang benar-benar bebas daripada sebarang gejala atau disahkan bebas daripada dijangkiti wabak berkenaan, dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan tersebut juga katanya bertujuan bagi mengelak kes-kes positif wabak berkenaan terus meningkat, yang berpunca daripada perbuatan individu merentas negeri biarpun telah memperoleh kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau berkata kos untuk ujian saringan tersebut perlu ditanggung oleh majikan sekiranya ia melibatkan pekerja manakala ditanggung sendiri jika membabitkan urusan peribadi.

“Ujian saringan ini penting memandangkan pada masa ini, kira-kira 70 peratus daripada mereka yang disahkan positif didapati tidak mempunyai gejala dan keadaan sedemikian amat membimbangkan,” katanya.

Sehingga kini, Melaka mencatatkan kluster tertinggi rentas negeri iaitu lapan kluster sedia ada dan empat kluster tambahan.

Sementara itu, kerajaan negeri juga berterima kasih atas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin malam tadi berkaitan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) berjumlah RM40 bilion.

“Sebagai sebuah negeri yang berasaskan pelancongan, kerajaan negeri Melaka mengucapkan terima kasih terhadap pemberian bantuan khas one-off berjumlah RM500 kepada golongan yang terjejas termasuk pemandu pelancong,” kata Sulaiman. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.