i-Sinar Faktor Utama Ekonomi ‘U-turn’ Ke Positif Pada Mac, Berbanding Negatif Pada Jan Dan Feb – Najib

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak percaya faktor utama ekonomi tiba-tiba ‘U-turn’ dari negatif pada bulan Januari dan Februari untuk menjadi positif pada bulan Mac ialah i-Sinar hanya mula dibayar bulan itu.

Ujarnya, semasa beliau dan UMNO mendesak pengeluaran i-Sinar dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad suruh Perdana Menteri sekarang Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan ikut nasihat ‘banduan’.

“Ada juga kawan-kawan yang kata desakan saya itu adalah tidak bertanggungjawab dan disifatkan sebagai syarat Puteri Gunung Ledang.

“Banyak artikel turut terkeluar dalam media kerajaan untuk kecam saya berhubung isu KWSP.

“’Last-last’ laporan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia kata pengeluaran i-Sinar telah selamatkan ekonomi Malaysia dari menjadi lagi teruk pada tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 suku 1 tahun 2021,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Najib berkata demikian merujuk kepada laporan ekonomi bagi suku 1 tahun 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia yang mengatakan ekonomi susut teruk pada bulan Januari dan Februari tapi tiba-tiba melonjak naik ke positif 6.0% pada bulan Mac.

“Walaupun KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) masih negatif 0.5% untuk suku 1, Jabatan Perangkaan kata ekonomi tidak menjadi lebih teruk sebab pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, PKP yang longgar dan harga sawit dan getah lebih tinggi.

“Namun, i-Lestari sudah lama dibayar setiap bulan, harga komoditi tetap tinggi bagi tempoh 3 bulan itu dan PKP 2.0 tetap longgar sepanjang tempoh itu,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.