Vaksin: Rentas Negeri Dibenar Kepada Individu Bawa Ibu Bapa Hadir Temu Janji – Khairy

SEREMBAN, 15 April – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memberi kebenaran rentas negeri kepada individu yang perlu pulang ke kampung halaman bagi membawa tanggungan mereka iaitu ibu bapa hadir janji temu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa dua yang bermula 19 April ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKN semalam dan mereka terlibat hanya perlu menunjukkan janji temu ibu bapa masing-masing kepada polis.

“Waris ataupun ahli keluarga yang ingin balik ke kampung mereka untuk membawa tanggungan mereka, ibu bapa ataupun ahli keluarga yang sakit ataupun datuk nenek ke janji temu vaksin adalah dibenarkan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Dalam pada itu Khairy berkata setakat ini seramai 170,970 rakyat di Negeri Sembilan telah mendaftar Program Imunisasi COVID-19 termasuk melibatkan warga emas (68,032) dan Orang Kurang Upaya (OKU) (6,425) serta pesakit berisiko (96,513) yang akan menerima suntikan vaksin bermula 19 April ini.

Khairy berkata PPV yang beroperasi bagi memfokuskan penerima vaksin daripada kumpulan berisiko tinggi adalah Hospital Tuanku Ja’afar, Hospital Port Dickson, Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Kumpulan berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah pesakit ada alahan teruk, mempunyai masalah imunisasi badan (immunocompromised) dan mereka yang mengambil ubat kecairan darah. Tiga kumpulan ini akan ke hospital untuk saringan dan suntikan vaksin,” katanya.

Pembukaan PPV bukan fasiliti kesihatan yang dibuka pada pada hari yang sama hanya Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan Dewan Pejabat Daerah Jempol manakala pembukaan PPV bagi 15 dewan di negeri ini akan beroperasi secara berperingkat.

Sementara itu, beliau berkata bagi menyelesaikan masalah pendaftaran vaksin COVID-19 melalui MySejahtera di kawasan pedalaman yang melibatkan Orang Asli, kempen pendaftaran bersemuka akan dilakukan iaitu melibatkan semua agensi kerajaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.