Demokrasi Tergendala… Hendak Belanja Apa Tanpa Kelulusan Parlimen? – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 1 April – Pindaan Ordinan Darurat semalam memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri yang mengingatkan kita bahawa demokrasi di Malaysia sedang tergendala.

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkaitan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 itu yang diwartakan susulan Proklamasi Darurat dengan Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa

Ujar Shahril, dari sudut kesahihan dan keabsahan pindaan ordinan ini, tiada pertikaian.

“Benda sudah berlaku. Kerajaan ada kuasa tersebut dan jelas mereka tidak segan hendak menggunakannya, tetapi belum ada sebarang penjelasan apa tujuan mereka “bypass” Parlimen dan DUN?

Katanya, meskipun sudah terlepas tanggungjawab prosedur demokrasi berparlimen buat masa sekarang, Kerajaan wajar mengambil tanggungjawab moral untuk sekurang-kurangnya memaklumkan perancangan perbelanjaan tambahan.

“Sepatutnya kalau perancangan itu baik, Ahli-ahli Parlimen pun akan luluskan. Tapi sekarang dengan pindaan ordinan, tak perlu takut. ‘Confirm’ boleh belanja.

“Maka, jelaskanlah kepada umum apa perancangan perbelanjaan itu. Barangkali Kerajaan boleh mempertimbang komentar dan kritikan membina ke arah penambahbaikan – sepertimana Belanjawan 2021 tempoh hari. Akhirnya, kuasa masih di Kerajaan – tetapi bukalah sedikit ruang akauntabiliti.”

Terdahulu beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia mempersoalkan tujuan terbabit sama ada hendak belanja beli laptop untuk PdPR atau menjamin peluang kerja untuk ratusan ribu anak muda, termasuk yang akan tamat pengajian?

“Belum jelas apa laporan Majlis Pekerjaan Negara yang agak sunyi dalam KPInya mewujudkan 500 ribu pekerjaan.

“Menarik pelabur dari Korea Selatan dan Jepun? Bagaimana mengurus keyakinan pelabur yang semakin merudum untuk melabur dalam negara yang menghentikan fungsi semak imbang wakil rakyatnya?

“Mempercepat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik?” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.