Kategori Pembela Rakyat, Kata Di Kota

Pemilihan UMNO : Tujuh Individu Di P.Pinang Ditolak Pencalonan

GEORGE TOWN, 26 Sept -  Tujuh individu di Pulau Pinang, yang menghantar borang untuk bertanding beberapa jawatan pada pemilihan UMNO Oktober ini, ditolak borang pencalonan kerana status keanggotaan mereka.

Keanggotaan mereka digantung atas beberapa sebab antaranya dakwaan mensabotaj parti pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir, Khamis.

“Kami terima surat penggantungan keahlian tujuh calon yang ingin bertanding itu pada pukul 4.45 petang 21 Sept 2013 iaitu pada hari penyerahan borang pencalonan untuk bertanding.

“Ini adalah keputusan UMNO Pusat dan bukan dari UMNO Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sini.

musa sheikh fadzir

Musa berkata tujuh pencalonan yang ditolak itu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Abd Rashid Abdullah yang mahu bertanding jawatan ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal dan bekas anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Dua Datuk Jasmin Mohamed yang berhasrat bertanding jawatan ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor.

Lima pencalonan lain yang ditolak ialah Dr Md Rozi Yusof untuk timbalan ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Mahamad Tahir Yusof (pengerusi tetap bahagian Tasek Gelugor), dan Salmah Ahmad, Azmidy Mohamad serta Rahim Che Noor, ketiga-tiga mereka bertanding untuk jawatan anggota Jawatankuasa Bahagian Tasek Gelugor.

Musa berkata sebanyak 32 calon di negeri ini, yang menyerahkan borang pencalonan pada Sabtu untuk bertanding, disahkan menarik diri selepas tempoh bertenang selama 72 jam tamat.

Katanya penarikan diri itu menjadikan jumlah keseluruhan calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO di negeri ini seramai 1,924 orang.

“Bagaimanapun itu bukanlah keputusan akhir kerana calon-calon akan melalui satu lagi saringan di peringkat pusat, yang akan tentukan sama ada calon ada terlibat dengan kegiatan jenayah ataupun diisytiharkan bankrup,” jelas beliau.

Yang turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pulau Pinang Datuk Daud Taha.

Pada pemilihan kali ini, Musa berkata terdapat tiga bahagian menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi merebut jawatan ketua UMNO Bahagian iaitu di Permatang Pauh, Jelutong dan Bukit Bendera.

Selain itu terdapat satu bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru untuk jawatan ketua UMNO bahagian iaitu Bagan, manakala empat bahagian menyaksikan pertandingan satu lawan satu untuk jawatan yang sama iaitu Kepala Batas, Batu Kawan, Tasek Gelugor dan Bayan Baru.

Sementara itu, Daud berkata Lembaga Disiplin UMNO masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dikenakan kepada tujuh orang yang ditolak pencalonan mereka itu.

“(Bagaimanapun) menurut surat yang dikeluarkan pada 20 Sept yang saya terima sehari selepas itu menyatakan bahawa mereka hilang kelayakan sebagai ahli UMNO, tidak boleh dipilih dan memilih (untuk mana-mana jawatan) sehingga kes mereka selesai,” katanya.


Berita Bertarikh Pada 26 September 2013 2:04 PM