Bakal Jemaah Haji Diberi Keutamaan Terima Vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 29 Mac – Bakal jemaah haji Malaysia tahun ini akan diberi keutamaan dalam pemberian vaksin COVID-19, apabila kerajaan Arab Saudi menetapkannya sebagai syarat wajib, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi COVID-19 di sini hari ini Khairy berkata, Tabung Haji akan mengemukakan senarai jemaah haji mengikut jadual setelah mendapat keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menyediakan vaksin kepada jemaah haji jika ditetapkan sebagai wajib oleh kerajaan Arab Saudi.

“Apabila kita dapat ketetapan bahawa ia adalah wajib, kita akan bekerjasama dengan Tabung Haji untuk melihat kepada senarai yang diluluskan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini, supaya mereka diutamakan dalam pemberian vaksin,” katanya.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah, sebelum ini dilaporkan berkata vaksinasi Covid-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.