Pulihkan Amalan Demokrasi, Atas Alasan ‘Sains dan Data’ Sidang Parlimen Wajar Dibuka – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuatkuasa.

Namun katanya sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.

“Fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan ‘sains dan data’.

“Perlu ingat Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi. Parlimen adalah forum untuk rakyat menyuarakan permasalahan melalui wakil mereka yang dipilih dalam pilihan raya,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahmad Zahid lagi, Parlimen merupakan badan perundangan Persekutuan yang memeriksa dasar-dasar kerajaan demi kepentingan negara.

Begitu juga katanya Parlimen berperanan menjaga dasar pengasingan kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judisiari bagi mengelak penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa.

Justeru, Ahmad Zahid berpandangan sudah tiba masa amalan demokrasi ini kembali dipulihkan juga dengan alasan ‘sains dan data’.

“Pertama, fungsi Parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.

“Kedua, ramai Ahli Parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.

“Ketiga, kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah pun dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab Parlimen terus ditutup,” katanya.

Manakala keempat, Ahmad Zahid merujuk kepada Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang memberitahu dalam Facebook beliau telah lari sekeliling Parlimen sampai ‘ketaq’ lutut lari kelmarin untuk gimik bagi acara ‘Parliament Virtual Run 2021’.

Dengan ini tegas Ahmad Zahid, jelas bermaksud Parlimen adalah sebuah kawasan yang selamat dan akan tetap selamat apabila semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.