Produk Pertahanan UPNM Mampu Dikomersialkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), mampu menghasilkan produk pertahanan yang boleh dikomersialkan mengikut kehendak pasaran, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru kata beliau, UPNM perlu bekerjasama dengan pihak swasta dan kementerian berkaitan, bagi memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta aktiviti pengkomersialan produk keluaran mereka.

“UPNM setahun hanya mempunyai peruntukan sekitar RM2 juta hingga RM6 juta, itu memang tidak mencukupi untuk membawa keluar produk UPNM, maka UPNM perlu menjalin kerjasama dengan syarikat swasta.

“Oleh itu, R&D UPNM perlu diperkasakan, khususnya berkaitan dengan industri pertahanan dan perlu bersesuaian dengan kehendak Kementerian Pertahanan (Kementah), terutamanya daripada segi persenjataan atau aset pertahanan,” katanya selepas lawatan kerja pertama ke UPNM, di sini, sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 10 Mac tahun lepas.

Lawatan itu bertujuan melihat peranan dan aktiviti utama UPNM dengan Kementah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Turut hadir Ketua Setiausaha Kementah Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Menurutnya sekiranya R&D UPNM bersesuaian dan menepati kehendak Kementah, maka kementerian itu dan kementerian lain atau syarikat-syarikat luar boleh menjadi pembeli utama kepada setiap produk yang dihasilkan UPNM.

Sebagai contoh kata Ismail Sabri, robot yang dihasilkan UPNM mungkin berupaya menarik minat agensi kerajaan berkaitan untuk menggunakan produk UPNM itu, bukan sahaja kerana kualitinya tetapi juga harganya yang berpatutan.

Dalam lawatan itu, Ismail Sabri juga dibawa melawat ke simulator kapal yang moden dan canggih, serta meninjau hasil R&D para penyelidik UPNM yang sedia untuk dikomersialkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.