Kategori Timbalan Presiden UMNO

Pertahankan Keamanan Dan Kestabilan Negara – Muhyiddin

KUALA BESUT, 16 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setiap anggota masyarakat bertanggungjawab mempertahankan keamanan dan kestabilan pentadbiran negara serta tidak menafikan peranan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata berbanding negara lain yang mana rakyatnya hidup dalam kebimbangan seperti yang berlaku di Mesir dan Syria ketika ini, penduduk di negara ini pula mampu menjalankan tugas seharian termasuk melaksanakan kewajipan berpuasa dalam keadaan tenang dan selesa.

“Di sini kita bertuah dan perlu bersyukur kerana apa yang berlaku seperti di Mesir dan Syria tidak berlaku di sini, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama pertahankan keadaan itu,” katanya dalam ucapan ringkas sempena majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari kawasan sekitar di Masjid Teluk Bayu di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Muhyiddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, berkata suasana aman dalam negara tidak terjadi begitu sahaja sebaliknya terhasil melalui sistem pentadbiran negara yang tersusun di bawah pentadbiran kerajaan BN.

“Kita juga tidak boleh nafikan apa yang kerajaan BN buat dalam meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang disegani dan menjadi contoh negara besar yang lain,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa pembangunan di kawasan Kuala Besut akan terus diberi perhatian oleh kerajaan dan sekiranya Tengku Zaihan diberikan mandat pada 24 Julai ini, ia akan meneruskan lagi kesinambungan pembangunan yang telah dan akan dirancang.

“Sepanjang lawatan saya hari ini, saya nampak penduduk sudah tidak sabar untuk menanti hari pengundian 24 Julai ini untuk memberi sokongan kepada Tengku Zaihan,” katanya.

Pada pilihan raya kecil 24 Julai, Tengku Zaihan akan ditentang Endot@Azlan Yusof dari PAS.

Pada majlis itu Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM140,000 bagi pembelian permaidani dan pendingin hawa untuk kegunaan Masjid Teluk Bayu serta sumbangan kepada 70 anak yatim dan fakir miskin.

Petang tadi, Muhyiddin menyertai jemaah Alor Teratai menunaikan solat Asar di Masjid An-Naim, Alor Teratai.


Berita Bertarikh Pada 16 July 2013 9:48 PM