Kategori Berita Lain

Pertembungan Nilai Punca Konflik Di Mesir – Rais

KUALA LUMPUR, 5 Julai – ┬áPergolakan di Mesir dilihat sebagai satu pertembungan nilai dan bukannya pertembungan politik semata-mata, kata Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim.

Justeru, katanya penting bagi umat Islam menilai perkembangan itu supaya kejaguhan politik dan perjuangan ummah sentiasa terpelihara.

“Jika tidak, apapun yang disebut menerusi sunnah dan ajaran Al-Quran diketepikan, tetapi apa yang kasar, berbentuk peperangan dan kerakusan akan keluar. Ini mesti kita atasi bersama,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau diminta mengulas konflik terbaru di Mesir yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30 Jun 2012 bagi menggantikan Hosni Mubarak.

Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, berkata rakyat Malaysia juga harus berwaspada kerana pertembungan sesama sendiri boleh berlaku jika gagal menghadapi dan mengatasi permasalahan nilai.

“Soalnya ialah di mana di dunia ini orang Kristian bertembung sesama mereka? Jarang sekali. Di mana Buddhisme bertembung sesama sendiri? Jarang sekali. Tetapi di kalangan masyarakat Islam pertembungan sesama sendiri ini sudah seperti makan nasi dengan kuah. Hari-hari berlaku,” katanya.

Beliau mencadangkan agar pihak kerajaan dan institusi pengajian tinggi membentuk nilai-nilai bersifat universal yang boleh dihormati oleh semua pihak.

Rais dalam pada itu menolak kebarangkalian konflik yang sama boleh berlaku di negara ini kerana Malaysia mempunyai tunggak demokrasi yang jelas selain elemen tanggungjawab yang telah dipagari dengan Perlembagaan yang kukuh.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu semua pihak menjadikan rampasan kuasa dan penahanan Presiden Mohammed Mursi ini sebagai satu iktibar bahawa keputusan demokrasi mestilah diterima dan dihormati semua pihak.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata sebarang tindakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan.

“Tindakan sebegini hendaklah dikecam dan ditolak sepenuhnya. Insiden yang tercetus selepas demonstrasi berpanjangan ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga membawa rusuhan dan pertembungan ganas antara penyokong dan penentang kerajaan di sana,” katanya dalam kenyataan.

Katanya beliau berharap Kementerian Luar akan terus memantau pergolakan di Mesir dan membuat persediaan awal sekiranya kerajaan terpaksa memindahkan rakyat Malaysia bagi mengelak insiden yang tidak dingini.

Khairy turut menasihati rakyat Malaysia agar tidak menghampiri kawasan yang berisiko tinggi di negara itu.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Abdul Azeez Abd Rahim berkata rakyat Malaysia perlu bermuhasabah diri dan menjadikan pergolakan di Mesir sebagai iktibar untuk menghargai keamanan sedia ada.

Beliau berkata kerajaan hari ini lebih berpengalaman untuk mengurus tadbir negara dan rakyat seharusnya bersyukur dapat hidup dalam negara yang stabil.

Abdul Azeez yang pernah terlibat dalam proses pemindahan 7,800 pelajar Malaysia di Mesir semasa kejatuhan Hosni Mubarak berkata, KP1M kini menunggu arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya bantuan yang sama diperlukan.

Pandangan yang sama turut dikongsi Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan supaya rakyat mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Mesir.

“Jangan terikut rentak asing dan pembangkang yang akhirnya menyebabkan negara hancur lebur,” katanya.


Berita Bertarikh Pada 5 July 2013 6:22 PM