Buku Tommy Thomas Perlu Disekat… Berunsur Fitnah, Berbaur Hasutan

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Selepas pelbagai pihak di seluruh negara membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas, Pemuda UMNO Bahagian Mersing tampil bersama wakil anggota komponen Barisan Nasional (BN) dari Pemuda MCA dan Pemuda MIC Bahagian Mersing bersama wakil Dewan Pemuda PAS Mersing membuat laporan polis.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing,  Azmir Zainal Abidin berkata, tindakan Tommy Thomas  mendedahkan rahsia kerajaan dalam bukunya ‘My Story: Justice In The Wilderness’ adalah amat tidak wajar.

“Tommy telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dengan mendedahkan kepada umum bagi tujuan komersial, keuntungan dan sensasi selain melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 yang tidak sepatutnya dilakukan seorang bekas Peguam Negara.

“Petikan dalam memoir itu telah diedarkan melalui pelbagai media mengandungi hal kerahsiaan kerajaan dan negara termasuk perbincangan serta nasihat diberikannya kepada Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja,” katanya.

Azmir yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Johor merasa kesal kerana banyak fakta yang tidak tepat dan dimanipulasi dalam buku tersebut sekali gus mengundang kegusaran awam.

“Kami memohon polis menyiasat kenyataan Tommy Thomas yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan selain tuduhan tidak berasas dalam buku tersebut dan seterusnya menghentikan pengedarannya kepada orang ramai.

“Buku tersebut perlu ditarik balik kerana boleh membangkitkan kebencian antara kaum dan badan-badan kerajaan yang kononnya didominasi bangsa Melayu yang tidak berkelayakan,” ujarnya.

Antara fakta yang dimanipulasi dalam buku tersebut ialah dakwaan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dalang peristiwa 13 Mei 1969 selain pelantikan jawatan tertinggi kehakiman negara diputuskan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut memperlekehkan Jabatan Peguam Negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.